suria

Sektor Pengangkutan Awam Luar Bandar Wajar Diberi Perhatian - Fomca

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) pada Khamis meminta kerajaan untuk memberi keutamaan kepada pembangunan sektor pengangkutan awam di luar bandar pada Bajet 2012 kali ini.

Presidennya, Datuk Marimuthu Nadason berkata kebanyakan pengusaha pengangkutan awam di negara ini hanya menumpukan operasinya di bandar-bandar utama tetapi kurang memberi perhatian kepada pengguna di kawasan pedalaman.

"Sesetengah bandar kecil seperti di Taiping, Kuala Kangsar dan Slim River, penumpang perlu menunggu hampir satu jam untuk mendapatkan bas," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas perasmian Bulan Kewangan Berhemat 2011 di sini hari ini, beliau berkata kerajaan juga harus mencari jalan untuk menjadikan sektor pertanian negara menjadi lebih mapan dan kompetitif.

"Negara kita mempunyai tanah terbiar sekitar sejuta hektar dan tanah-tanah ini seharusnya mampu memberi nilai dan faedah kepada rakyat," katanya.

Marimuthu berkata Fomca turut meminta kerajaan untuk memberi lebih peruntukan kepada sektor pendidikan dan kesihatan yang menjadi elemen penting kepada pembangunan negara.

Bulan Kewangan Berhemat 2011 dianjurkan oleh Fomca dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia untuk meningkatkan kesedaran kewangan berhemat kepada orang ramai. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain