suria

Sejarah Tidak Boleh Ditulis Semula Hanya Kerana Politik Berubah: Puad

SHAH ALAM: Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi tetap mempertahankan pendiriannya bahawa sejarah tidak boleh ditulis semula bagi memenuhi keperluan politik semata-mata.

Sebaliknya, beliau mengambil sikap terbuka sekiranya sejarah ditafsir semula berasaskan fakta dan pengalaman yang ada.

"Kenapa perlu ditulis semula?Kita tidak boleh apologetik terhadap isu yang sedang berlaku sekarang. Sejarah tetap sejarah... kita tidak sewenangnya mengubah sejarah," katanya dalam Wacana Sinar Harian bertajuk, Merdeka: Wajarkah sejarah ditulis semula? di sini pada Selasa.

Menurut beliau, sejarah tidak boleh dipolemikkan selepas 54 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan dan ia perlu diutamakan sebagai alat untuk melakukan transformasi.

"Maka kita harus mempertahankan sejarah yang wujud pada masa lalu, hari ini dan masa hadapan. Ia adalah harga bangsa yang perlu dipertahankan bukan perlu ditulis semula untuk menyedapkan hati semua pihak," ujarnya.

Puad berkata, beliau bersetuju jika sejarah ditafsirkan kerana ianya hidup disebabkan pentafsiran.

"Seperti juga di dalam al-Quran, kita tafsir berasaskan kepada perjalanan hidup Rasulullah yang memperjelaskan ajaran dalam al-Quran termasuk hadis-hadis sedia ada. Oleh itu, ia memang perlu ditafsir berasaskan kepada fakta," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata tafsiran tidak boleh dilakukan sesuka hati dan memerlukan penghuraian terhadap data-data sedia ada tanpa merombak dasar keseluruhan sesuatu sejarah itu sendiri.

"Kita tidak boleh terjebak dengan apa yang berlaku di Barat... cuba menulis semula sejarah Islam bertujuan untuk menyalahkan Islam. Apa yang penting kita perlu lebih objektif kepada tujuan sejarah sebagai alat untuk membina bangsa," katanya.

Sementara itu, Puad berharap agar jawatankuasa kurikulum sejarah yang ditubuhkan kerajaan dapat melihat dengan lebih mendalam isu berkaitan pengiktirafan yang dibangkitkan pada hari ini.

"Jawatankuasa itu diberikan tempoh sehingga akhir tahun ini untuk menyiapkan laporan yang akan membantu kita melaksanakan Kurikulum Sekolah Menengah yang sepatutnya bermula 2014," katanya.

Menerusi forum ini, Puad yakin kementeriannya boleh menambah baik dan memasukkan aspek-aspek yang tertinggal termasuk memberi pengiktirafan kepada mereka yang menyumbang kepada kemerderkaan negara.

Turut hadir dalam wacana itu, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Profesor Datuk Mohamad Abu Bakar dan Pakar Sejarah, Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr Ramlah Adam.

Artikel Lain