suria

PM Alu-Alukan Inisiatif Swasta Penuhi Keperluan Pendidikan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata langkah sektor swasta mengambil inisiatif untuk memajukan bidang pembelajaran di negara ini amat dialu-alukan kerana kerajaan semata-mata tidak mampu memenuhi semua keperluan pendidikan.

Kata beliau walaupun kerajaan menyediakan sejumlah besar peruntukan, ia masih tidak mencukupi kerana bidang pendidikan memerlukan perbelanjaan yang amat tinggi.

"Meskipun kerajaan sudah menyediakan peruntukan yang besar (untuk pendidikan), namun keperluannya lebih besar lagi dan tidak mungkin apa yang dibelanjakan kerajaan selama ini ditakrifkan sebagai mencukupi.

"Banyak lagi peruntukan yang perlu disediakan di semua peringkat jika mahu menjadikan bidang pendidikan kita yang terbaik. Tidak ada kerajaan di mana-mana negara sekalipun yang mampu menyediakan peruntukan bagi sektor pendidikan secara bersendirian tanpa bantuan pihak lain," katanya pada majlis pelancaran dana pendidikan 'Community Chest' di sini, Isnin.

Dana tajaan sektor swasta itu bertujuan memajukan dan menyokong bidang pendidikan demi manfaat masyarakat Malaysia.

Ia juga menyediakan biasiswa untuk pelajar yang berkelayakan dan memerlukan bantuan untuk membolehkan mereka memperoleh pendidikan berkualiti.

Najib berkata beliau gembira kerana sektor swasta menemui penyelesaian kreatif untuk menyokong kemajuan pendidikan di negara ini. - BERNAMA

Artikel Lain