suria

Polis Kesan Dua Lelaki Bantu Siasatan Kes Samun Pengurup Wang Di KLIA

SHAH ALAM: Polis pada Jumaat mengedarkan gambar dua lelaki yang sedang dijejaki bagi membantu siasatan kes samun pengurup wang membabitkan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata mereka ialah T. Sritharan, 32, yang beralamat terakhir di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh dan D. Nagarajan, 34, dari Bandar Sri Damansara, Sri Petaling, Kuala Lumpur.

"Polis ingin mereka berdua ini tampil bagi membantu siasatan dan juga meminta anggota keluarga, saudara-mara atau masyarakat memaklumkan kepada kami sekiranya mengetahui di mana kedudukan mereka," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya Nagarajah pernah ditangkap berhubung kes samun pengurup wang di Johor Baharu, Johor pada 2003, manakala Sritharan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua lelaki ini boleh hubungi ASP Zahairul Idrus di talian 019-6664953 dan Cif Ins N.Samneshwaran di talian 019-5119922, katanya.

Media sebelum ini melaporkan tiga pegawai SPRM ditahan selepas dipercayai menyamun pengurup wang membabitkan wang berjumlah US$300,000 (RM938,085) di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 16 Sept.

Mengulas mengenai tiga pegawai SPRM terbabit, Tun Hisan menafikan dakwaan bahawa seorang daripada mereka bergelar Datuk.

Sebaliknya kata beliau, seorang daripada suspek yang kini ditahan reman sehingga 26 Sept itu berpangkat Asisten Komisioner.

SPRM dalam satu kenyataan sebelum ini memberitahu tiga pegawai yang dipercayai terbabit dalam kes samun itu dilucut daripada sebarang tugasan siasatan sementara menunggu hasil siasatan polis. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain