suria

Raja Perlis Nasihat Golongan Muda Jangan Abai Ibu Bapa

GEORGETOWN: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengingatkan golongan muda terutama siswazah agar tidak mengabaikan dan melupakan jasa ibu bapa yang membesarkan mereka.

Baginda, yang juga Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) bertitah pengorbanan ibu bapa tiada nilainya dan tidak boleh dibayar dengan wang ringgit.

"Sejak kebelakangan ini, media sering melaporkan berita tentang ibu bapa yang dihalau dari rumah dan ditinggalkan tanpa perhatian anak. Sehubungan itu, beta ingin menasihati siswazah agar tidak melupakan jasa ibu bapa kerana tanpa mereka kita tidak akan wujud di dunia ini," titah baginda pada sidang pertama Upacara Konvokesyen ke-44 USM di Dewan Tuanku Syed Putra, Rabu.

Turut berangkat Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Tuanku Syed Sirajuddin turut menasihatkan agar siswazah sentiasa bekerja keras, fokus, ikhlas dan mengukuhkan keupayaan diri untuk dihormati serta disegani dalam bidang masing-masing.

"Ilmu pengetahuan yang dimiliki harus digunakan untuk memajukan pemikiran baru, mentranformasikan proses kerja sedia ada agar lebih cekap dan berkesan serta dapat membantu mengatasi pelbagai isu yang ada," titah baginda. - BERNAMA

Artikel Lain