suria

Pengurus Kilang Dituduh Sogok Pegawai TNB

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus kilang papan lapis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu terhadap tuduhan memberi rasuah kepada seorang pengurus Tenaga Nasional Berhad pada Jun lepas.

Tey Man Er, 29, didakwa memberikan suapan wang tunai RM4,000 kepada pengurus kanan Unit Siasatan dan Risikan TNB, Rumaizi Mohd Amir sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana menyalahgunakan elektrik.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Old Town White Coffee, UOA Shopping Centre, Bangsar, dekat sini pada 2.15 petang 1 Jun lepas.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang RM10,000 atau lima kali ganda jumlah suapan atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan Tey diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 0kt ini untuk sebutan bagi membolehkan tertuduh melantik peguam. - BERNAMA

Artikel Lain