suria

BN Pulau Pinang Gesa Kerajaan Negeri Tunjuk Bukti

GEORGE TOWN: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang hari ini menggesa kerajaan negeri untuk mengemukakan bukti berhubung dakwaan isu kerugian pembangunan semula Pulau Jerejak.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja BN Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan berkata, sekiranya pihak mereka mendapat bukti yang jelas, mereka boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak termasuk kerajaan negeri yang terdahulu.

"Sebelum ini pun, Ketua Menteri Lim Guan Eng pernah mencabar untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas ketua menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan pelbagai lagi dakwaan berhubung isu itu," katanya kepada pemberita selepas menyertai program tinjauan mesra BN di Pasar Chowrasta di sini, Isnin.

Beliau mengulas mengenai dakwaan Lim bahawa projek itu yang dilaksanakan oleh pentadbiran di bawah Koh telah mengalami defisit RM30 juta dan kerajaan Pulau Pinang sekarang menuntut supaya wang tersebut dikembalikan.

Teng berkata, kerajaan negeri seharusnya mengutamakan kepentingan dan nasib rakyat dengan menyelesaikan masalah mereka seperti membaiki kerosakan bumbung di Pasar Chowrasta yang masih tertangguh.

Semasa program itu, sebanyak 3,000 beg pelbagaiguna untuk kemudahan membeli-belah diedarkan kepada pengunjung dan penjual di pasar itu yang disertai oleh barisan pemimpin dan jawatankuasa BN negeri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain