suria

Kerajaan Tidak Pinggir Etnik Kecil Dalam Arus Pembangunan Negara

BELURAN: Walau sekecil mana pun kumpulan etnik, kerajaan tidak akan meninggalkan mereka daripada arus pembangunan dan kebudayaan nasional, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang.

Beliau berkata menjadi agenda kerajaan untuk melibatkan semua masyarakat dalam apa jua program pembangunan negara tanpa mengira saiz kumpulan etnik itu.

"Walaupun sesebuah kumpulan etnik itu tidak ramai orangnya tetapi sumbangan mereka kepada kepelbagaian negara kita memang besar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Tagunggu di Paitan, Ahad.

Mengambil contoh kaum Sungai Labuk di Paitan, Salang berkata biarpun mereka hanya kumpulan etnik yang kecil di negeri ini tetapi kerajaan tidak meninggalkan mereka daripada arus pembangunan kebudayaan nasional.

Katanya ini termasuklah melalui penganjuran Pesta Tagunggu yang kini memasuki edisi keenam bertujuan mempromosi kesenian dan kebudayaan suku kaum itu.

Beliau berkata penganjuran pesta Tagunggu Paitan merupakan pendekatan yang sangat baik bagi daerah kecil Paitan dalam usaha mempromosikan warisan budaya suku kaum Sungai Labuk.

Dengan adanya pesta ini, katanya ia dapat mempromosikan alat-alat muzik tradisi masyarakat Sabah dengan rentak dan cara alat-alat muzik tradisi ini dimainkan sendiri oleh kaum Sungai di daerah ini.

Beliau berkata ia juga selaras dengan usaha memulihara warisan seni budaya di kalangan generasi muda dengan menarik minat mereka menyertai acara kebudayaan khususnya suku kaum mereka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain