suria

Kanak-Kanak Dua Tahun Ditemui Lemas Dalam Perigi

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun 10 bulan ditemui mati lemas dalam perigi di belakang rumahnya di Kampung Pulau Manis, Manir, di sini, Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa Muhammad Adam Iskandar Mohd Jais, anak tunggal kepada pasangan Mohamad Jais Muda, 40 dan Zainabun Mamat, 42 dilaporkan sebelum itu bermain dengan sepupunya Mohamad Syafiq Syakir berusia setahun setengah di belakang rumahnya.

Nenek mangsa Zainun Ismail, 67, berkata, ketika pulang daripada menoreh, mendapati Mohamad Syafiq sedang menangis dan curiga dengan keadaan itu bersama ibu mangsa terus mencarinya di sekitar rumah.

Kedua-duanya kemudian menemui Muhammad Adam Iskandar terbaring dalam perigi kira-kira 500 meter di belakang rumah.

"Kedua-dua cucu saya mungkin ke belakang rumah untuk melihat seekor beruk yang ditempat di situ," kata Zainun ketika ditemui di rumahnya. Datuk mangsa, Mamat Abdullah,68 berkata cucunya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Telemong dan disahkan telah meninggal dunia.

Jenazah Muhammad Adam Iskandar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Pujuk, di sini selepas waktu Asar sementara ibu bapa mangsa enggan ditemuramah kerana terlalu sedih dengan kehilangan anak tunggal mereka itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain