suria

Pemansuhan Akta Untuk Jaga Kepentingan & Kesejahteraan Rakyat - KPN

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan memansuhkan beberapa akta dan mengkaji semula undang-undang pencegahan dilihat sebagai menjaga kepentingan dan kesejahteraan rakyat selain mengambil kira kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata langkah itu yang dibuat oleh barisan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga seiring dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju.

"Proses semakan undang-undang lapuk dan tidak relevan pada masa kini terutamanya mengenai hak rakyat berkumpul dan bersuara telah pun dimulakan dengan perbincangan atas inisiatif Menteri Dalam Negeri.

"Melalui proses tersebut kita sentiasa mengutamakan keselamatan negara dan ketenteraman awam agar terus terjamin dan dipelihara," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Najib dalam Perutusan Khas Hari Malaysia malam tadi mengumumkan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menggubal dua undang-undang baru yang sesuai bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Perdana Menteri berkata undang-undang baru itu akan digubal di bawah 'semangat serta payung' Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Dalam perutusan itu, beliau turut mengumumkan pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 selain akan mengkaji semula secara komprehensif Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan seksyen 27 Akta Polis 1967.

Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) yakin dapat memenuhi aspirasi Perdana Menteri dalam mengimbangi hak asasi bersuara dan berkumpul tanpa menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

"Sehubungan itu, saya memberi jaminan bahawa dengan pembatalan dan pemansuhan beberapa undang-undang, PDRM akan terus komited untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain