suria

MAS Lantik Ahmad Jauhari Pengarah Urusan

PETALING JAYA: Malaysian Airline (MAS) melantik Ahmad Jauhari Yahya, sebagai Pengarah Urusannya, berkuat kuasa 19 Sept, 2011.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, MAS berkata Mohammed Rashdan akan kekal sebagai pengarah eksekutif yang melapor kepada Pengarah Urusan.

Ahmad Jauhari ketika ini merupakan pengarah bukan eksekutif, bukan bebas Malaysia Airport Holdings Bhd.

Beliau mengambil alih daripada Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin yang melepaskan jawatannya pada Ogos.

Sebelum pelantikan beliau, Ahmad Jauhari merupakan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Premium Renewable Energy (M) Sdn Bhd.

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai industri yang termasuk minyak dan gas, penerbitan, kejuruteraan, kuasa dan tenaga. Ahmad Jauhari memegang ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam kejuruteraan elektrik dan elektronik daripada University of Nottingham, UK.

Beliau memulakan kerjayanya dengan Esso Malaysia Bhd sebelum menyertai The New Straits Times Press (M) Bhd, di mana beliau dilantik menjadi pengurus besar kanan, pengeluaran dan pengedaran pada 1990.

Pada 1992, beliau menyertai Time Engineering Bhd sebagai timbalan pengarah urusan dan kemudiannya dilantik sebagai pengarah urusan pada tahun yang sama.

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Malaysian Resources Corp Bhd dan Malakoff Bhd.

Ahmad Jauhari juga berkhidmat sebagai pengarah dan pengerusi jawatankuasa eksekutif Central Electricity Generating Co Ltd (Jordan) dan pengarah Shuaibah Expansion Project Co Ltd (Arab Saudi).

Beliau juga merupakan bekas presiden kehormat Penjanabebas (Persatuan Pengeluar Penjana Bebas di Malaysia). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain