suria

Laporan Program 6P Jadi Panduan Dasar Penggajian Pekerja Asing - Hishammuddin

PUTRAJAYA: Laporan Program 6P akan menjadi panduan untuk mengkaji semula Dasar Penggajian Pekerja Asing (DPPA) agar bersesuaian dengan keperluan semasa, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata data yang diperolehi daripada Program 6P adalah penting sebagai landasan untuk mengkaji faktor warga asing bekerja secara tidak sah, sama ada disebabkan majikan mengelak membayar levi, ketiadaan dokumen atau disebabkan faktor dasar penggajian pekerja asing.

Beliau menambah ketika proses pendafataran Program 6P, Jabatan Imigresen Malaysia mendapati jumlah signifikan pekerja asing tanpa izin (PATI) terpaksa memilih untuk bekerja secara tidak sah di negara ini kerana jenis pekerjaan mereka tidak tersenarai dalam subsektor perkhidmatan yang dibenarkan DPPA.

"Sehubungan itu, laporan Program 6P boleh menjadi rujukan penting dalam tindakan jangka panjang bagi melihat semula DPPA yang sedia ada untuk memastikan ia bertepatan dengan tuntutan semasa dan diimbangi dengan faktor keselamatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Program 6P yang bertujuan untuk merekodkan jumlah PATI di negara ini, memantapkan pengurusan warga asing dalam negara dan membantu agenda menangani jenayah rentas sempadan, khususnya jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan manusia.

Hishammuddin berkata Kementerian Dalam Negeri akan bekerjasama dengan semua Kementerian yang bertanggungjawab sebagai badan selia bagi setiap sektor dan subsektor khususnya Kementerian Sumber Manusia.

"Data dan maklumat yang lebih komprehensif akan didapati dalam fasa kedua Program 6P iaitu Proses Pemutihan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata beliau telah membentangkan Laporan Pelaksanaan Fasa Pertama Program Penyelesaian Menyeluruh Menangani PATI (Program 6P) iaitu Proses Pendaftaran yang berakhir pada 31 Ogos lalu kepada Kabinet semalam.

Beliau berkata Kabinet memandang serius mengenai perkara itu dan berpendapat bahawa Program 6P adalah usaha penting dalam memastikan keselamatan negara terus terpelihara sekali gus memastikan rakyat dapat menjalani kehidupan dalam suasana harmoni dan aman.

"Jemaah Menteri berpuas hati dengan laporan fasa pertama Program 6P dan akur dengan kepentingan pelaksanaan Program 6P kali ini," kata Hishammuddin.

Program 6P ialah satu mekanisme komprehensif melibatkan enam komponen yang akan dilaksanakan secara berperingkat iaitu Pendaftaran, Pemutihan, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran serta melibatkan pendaftaran biometrik setiap PATI bagi mengelakkan berlakunya pemalsuan identiti dan dokumen. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain