suria

Bekas Pembantu Peribadi Diarah Bayar Ganti Rugi RM25,000 Kepada Sheikh Muzaphar

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan yang merupakan bekas pembantu kepada Datuk Dr Sheikh Muzaphar Shukor Al-Masrie diarahkan membayar ganti rugi berjumlah RM25,000 selepas Mahkamah Sesyen di sini, membenarkan permohonan tuntutan balas yang difailkan oleh angkasawan negara terbabit terhadap saman ke atas dirinya yang bernilai RM90,000, tiga tahun lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Noradidah Adam pada Selasa, sehari selepas beliau membenarkan permohonan Sheikh Muzaphar untuk membatalkan saman Norlina dan memerintahkan wanita terbabit untuk menjelaskan kos sebanyak RM5,000.

Pada prosiding itu, Sheikh Muzaphar selaku defendan diwakili oleh peguam Dzaki Ezhar Bahar manakala peguam Nasaruddin Abdul Manaf mewakili Norlina yang merupakan plaintif.

Berdasarkan tuntutan balas yang difailkan 8 Febuari lalu, Sheikh Muszaphar mendakwa Norlina telah bertindak sendirian tanpa arahan atau pengetahuannya atas dasar kononnya mahu memberikan bantuan kepada beliau yang mana beliau tidak pernah memberikan sebarang kata putus ataupun janji kepada plaintif.

Sheikh Muszaphar yang telah ditawarkan atau dianugerahkan kontrak berjumlah RM50,000 oleh Majlis Tindakan Negeri Sembilan mendakwa, beliau telah menjayakan kontrak itu tanpa sebarang bantuan daripada pihak plantif, namun di luar pengetahuan defendan, plaintif telah menuntut bayaran daripada Majlis Tindakan Negeri Sembilan dan mengambil bayaran sebanyak RM25,000 daripada pihak berkenaan.

Beliau juga menegaskan bahawa beliau tidak pernah memberikan sebarang kuasa mahupun kebenaran bagi plantif untuk berbuat demikian dan memohon supaya bayaran itu dikembalikan kepadanya namun sehingga kini pihak plaintif gagal untuk berbuat demikian.

Sehubungan itu, Sheikh Muszaphar mendakwa tindakan yang dilakukan plaintif telah menyebabkan reputasinya sebagai angkawasan negara telah tercemar akibat liputan media cetak dan elektronik yang meluas dan kerjayanya turut terjejas.

Pada 18 Mei 2010, mahkamah membatalkan permohonan kes tuntutan saman itu setelah mendapati pihak plaintif gagal memfailkan beberapa dokumen yang telah diarahkan sebelum ini.

Pada 25 Julai 2008, Norlina menfailkan saman terhadap Sheikh Muszaphar kerana mendakwa telah melanggar kontrak pelantikannya sebagai pembantu peribadi dan menuntut ganti rugi melebihi RM90,000.

Norlina dalam pernyataan tuntutannya mendakwa Sheikh Muszaphar tidak menjelaskan upah perkhidmatan sebagai pembantu peribadinya seperti yang dipersetujui menerusi satu surat pelantikan pada 2 April 2008.

Norlina mendakwa pada 28 Mei 2008 dia menerima surat penamatan perkhidmatannya daripada Sheikh Muszaphar sebagai pembantu peribadi selepas berhasil mendapatkan pelbagai kontrak termasuk satu projek di bawah Penyiaran Television Astro.

Dalam penyataan tuntutan itu, Norlina memohon jumlah wang sebanyak RM45,000 sebagai upah yang adil dan munasabah, ganti rugi RM47,751.85, ganti rugi am akibat kehilangan keuntungan melalui satu program televisyen yang kononnya akan menjadikan Sheikh Muszaphar sebagai 'ikon pendidikan' dan kos lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain