suria

Empat Maut, Tiga Cedera Dalam Kemalangan Di Lahad Datu

LAHAD DATU: Empat terbunuh manakala tiga lagi cedera apabila sebuah kereta dan kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki bertembung di kilometer 24 Jalan Lahad Datu-Sandakan pagi Selasa.

Mereka yang terbunuh dikenali sebagai Abdul Halie Esdari, 56, yang memandu kereta jenis Nissan Sunny dan penumpang kereta itu, Nor Mohd Sapiullah, 41, Kempoh Asiri, 38, dan Sajid Haji Asin, 30-an.

Tiga yang cedera dalam kemalangan jam 8 pagi itu pula ialah seorang lagi penumpang kereta berumur 30-an dan pemandu serta penumpang kenderaan pacuan empat roda yang masing-masing berumur dalam lingkungan 40-an dan 19 tahun.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Supt Shamsudin Mat berkata kesemua mangsa yang terkorban meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius yang dialami.

Menurut Shamsudin penyiasatan awal polis mendapati kereta yang membawa mangsa dari Sandakan selepas melawat anggota keluarga di sana dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan sebelum bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan.

Katanya kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Lahad Datu dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain