suria

Penganjur Perlu Pastikan Petugas Media Diberi Perlindungan Secukupnya - Rais Yatim

SEPANG: Penganjur misi bantuan ke luar negara perlu memastikan petugas media diberi perlindungan secukupnya, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata keselamatan peserta, terutama petugas media yang membuat liputan sesuatu misi kemanusiaan perlu dilihat dengan lebih teliti bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam keadaan tidak bersedia seperti yang berlaku di Somalia.

Rais berkata demikian kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangasa Kuala Lumpur, Sabtu, ketika mengulas kematian jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor, yang terkena tembakan curi semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Mogadishu, Jumaat.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Katanya, petugas media yang ingin terlibat dengan kerja amal atau misi kemanusiaan dan sukarelawan, perlu bertanya kepada penganjur sama ada mereka dibekalkan perlindungan insurans, keselamatan dan undang-undang.

Rais juga berkata kementerian akan mengkaji satu prosedur bagi memastikan petugas media di luar negara, walaupun terlibat dalam kegiatan sukarelawan, diberi perlindungan insurans.

Mengenai Noramfaizul, beliau berkata sebagai petugas media yang profesional, dedikasi serta berani, pengorbanan Allahyarham tidak ternilai dan perlu dihargai.

Katanya, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan sedang mengkaji jenis bantuan kepada keluarga Allahyarham, terutama bagi menjamin masa depan kedua-dua anak Noramfaizul yang masih kecil.

Rais berkata beliau akan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pangkalan TUDM Subang untuk menerima jenazah Allahyarham yang dijangka tiba pagi Ahad.

Jenazah Noramfaizul, yang dibawa pulang dengan pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia bersama anggota misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia, berlepas dari Mogadishu pada 3 petang Sabtu. - BERNAMA

Artikel Lain