Rombongan RADIG 2 Selamat Keluar Dari Gaza - Semasa | mStar

Rombongan RADIG 2 Selamat Keluar Dari Gaza

KUALA LUMPUR: Kesemua 33 orang peserta Misi Ramadan Di Gaza Kedua (RADIG 2) anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berjaya keluar dengan selamat dari Gaza pada Sabtu dan kini menuju ke Kaherah, Mesir setelah mendapat arahan daripada pihak berkuasa tempatan dan Kedutaan Malaysia di Mesir.

Setiausaha Agong MAPIM yang juga Ketua Misi RADIG 2, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata mereka dijangka pulang ke tanah air Rabu ini.

Beliau berkata keadaan yang semakin meruncing di Gaza dapat dirasakan sejak hari pertama peserta misi RADIG 2 tiba di Gaza apabila tidak kurang daripada lapan kawasan dibedil oleh tentera Israel.

Menurutnya, salah satu daripadanya ialah di tengah bandar Gaza yang jaraknya cuma 400 meter dari hotel mereka menginap dan gegaran kuat amat dirasai.

"Serangan semakin meningkat pada hari kedua dan dilaporkan 15 nyawa terkorban termasuk tiga kanak-kanak dan lima orang awam," katanya dalam e-mel kepada Bernama.

Mohd Azmi berkata gegaran letupan bom yang dilancarkan tentera Israel bertambah sengit pada hari-hari seterusnya berikutan serangan balas yang dilakukan oleh tentera Palestin.

Katanya, sepanjang berada di Gaza, peserta mendapat taklimat penuh dari semasa ke semasa mengenai tahap keselamatan di Gaza sehinggalah keputusan diambil untuk melaksanakan pelan evakuasi pada hari ketiga misi berkenaan.

Beliau berkata pergerakan mereka dari hotel di Gaza hingga ke sempadan Rafah berjalan begitu lancar tanpa berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Suasana di dalam bas tenang dan peserta tetap bersemangat walaupun diselubungi kesayuan kerana terpaksa meninggalkan kenalan di kalangan rakyat Gaza yang sudah dianggap seperti keluarga.

"Peserta misi RADIG 2 berasa sangat berat hati meninggalkan Gaza dalam saat penduduk tempatannya masih memerlukan sokongan," katanya.

Malah katanya ada di kalangan peserta yang menyatakan kesanggupan untuk terus berada di Gaza sekiranya dibenarkan demi memberi sokongan dan bantuan yang termampu.

Mohd Azmi berkata pada keseluruhannya perjalanan program RADIG 2 dianggap berjaya dan semua anggota misi berpuas hati kerana dalam masa singkat mereka mampu mengadakan beberapa jalinan hubungan dengan pihak tertentu di Gaza sebagaimana yang dimatlamatkan oleh misi di samping dapat menyampaikan sejumlah bantuan kepada pelbagai kelompok di Gaza.

Misi ini juga berjaya mengukuhkan komitmen antara pihak berkuasa Gaza terutamanya Kementerian Kesihatan dan MAPIM bagi menjayakan projek pembinaan Hospital Kanak-Kanak dan Materniti Gaza di mana bantuan kewangan bernilai AS$60,000 sebagai sumbangan pertama untuk memulakan projek berkenaan telah disampaikan kepada pihak berkenaan.

Misi RADIG 2 turut meninjau pembinaan masjid An-Nasr di Beit Hanoun yang disumbangkan rakyat Malaysia dan berpuas hati dengan kelancaran pembangunan masjid itu.

Sehingga kini sebanyak RM639,000 disumbangkan kepada projek pembinaan semula masjid berusia hampir 800 tahun yang musnah akibat serangan Israel ketika pencerobohannya pada 2006 dan masih memerlukan RM211,000 lagi untuk disempurnakan.

Mohd Azmi berkata misi itu juga berjaya mengadakan perbincangan langsung dengan beberapa orang pemimpin serta pelbagai pertubuhan sukarela termasuk pertubuhan wanita, majlis ulama, persatuan bantuan kecemasan dan pembangunan masyarakat serta persatuan bantuan untuk orang kurang upaya serta mangsa perang.

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

Artikel Lain

Nelayan temui duit dalam perut ikan