suria

Polis Giat Buru Dua Lelaki Samun Warga Thailand

PADANG BESAR: Polis sedang giat memburu dua lelaki yang menyamun sepasang suami isteri warga Thailand di hadapan kuari, Jalan Wang Kelian-Kaki Bukit, dekat sini, pada Jumaat, kata Ketua Polis Dearah Padang Besar Supt Che Man Md Dros.

Katanya dalam kejadian pukul 7.20 petang itu, pasangan suami isteri yang menaiki kereta Toyota Camry berwarna putih sedang dalam perjalanan dari Wang Kelian menuju ke Kaki Bukit telah dihimpit sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna hitam.

Beliau berkata kenderaan yang dinaiki dua suspek berketurunan India berumur lingkungan 20 dan 30 tahun itu memintas kereta Camry yang dinaiki pasangan suami isteri menyebabkan berlaku pergeselan.

Menyangkakan ia suatu kemalangan, pasangan suami isteri itu turun daripada kenderaan untuk menyiasat kerosakan dan ketika inilah dua lelaki meluru ke arah mereka sambil mengacukan parang, katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Che Man berkata pasangan suami isteri itu kemudiannya diarah masuk semula ke dalam kereta mereka dan berlaku pergelutan antara mereka sehingga menyebabkan kecederaan pada tangan kanan isteri mangsa.

Semasa pergelutan itu, Che Man berkata seorang suspek merampas beg tangan milik mangsa yang mengandungi wang tunai berjumlah RM7,000, empat buah telefon bimbit dan dokumen-dokumen milik mangsa.

Kedua-dua penyamun yang memakai topi besbol itu kemudiannya mengarahkan pasangan suami isteri itu keluar daripada kenderaan dan seorang daripada mereka melarikan kenderaan milik mangsa.

"Orang awam yang melalui kawasan itu membantu membawa pasangan suami isteri berusia 48 dan 50 tahun itu membuat laporan di balai polis Kaki Bukit," katanya.

Mangsa yang mengalami cedera ringan kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah dan diberi rawatan pesakit luar.

Che Man berkata kereta mangsa yang dilarikan penyamun itu ditemui semula dalam keadaan berkunci di Kampung Semadong dekat sini pada hari kejadian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua suspek diminta menghubungi bilik gerakan IPD Padang Besar di talian 04-9491481 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam kes berasingan, polis berjaya menahan seorang remaja lelaki berusia 21 tahun disyaki terbabit dengan kehilangan sebuah teksi di Cheras pada 5 Mei lalu.

Che Man berkata suspek ditahan ketika memandu teksi itu di Kampung Kubang Menerong dekat sini pukul 12 tengah malam pada Rabu lalu.

Hasil pemeriksaan ke atas teksi itu mendapati nombor enjin kenderaan itu sama dengan teksi yang dilaporkan hilang pada Mei lalu.

Suspek ditahan dan kenderaan itu dirampas dan diserahkan kepada polis Cheras untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain