suria

Bentong Perlu Bandar Baru, Titah Tengku Abdullah

BENTONG: Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta kerajaan Pahang menjalankan kajian bagi mewujudkan sebuah bandar baru yang lebih terancang di daerah ini.

Titah baginda langkah itu perlu bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di bandar Bentong yang menyebabkan tekanan kepada penduduk.

"Penduduk daerah ini terutamanya mereka yang tinggal di bandar Bentong bukan saja terpaksa berhadapan kesesakan lalu lintas di musim perayaan tetapi pada hari-hari biasa dan hujung minggu.

"Saya sendiri terkejut dengan keadaan kesesakan yang berlaku semasa dalam perjalanan ke program ini, namun bernasib baik ada polis membantu dan akhirnya berjaya sampai pada waktu dijanjikan," titah baginda pada majlis berbuka puasa bersama rakyat di pekarangan Masjid Daerah Bentong, Selasa.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Kesihatan yang juga Anggota Parlimen Bentong Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Baginda juga mahu kerajaan Pahang memanfaatkan sepenuhnya kedudukan bandar Bentong yang hampir dengan Kuala Lumpur, khususnya daripada segi pembangunan infrastruktur.

Kedudukan bandar Bentong yang strategik mampu menjana lebih banyak pembangunan di kawasan sekitar dan seterusnya memberi impak positif kepada rakyat, titah Tengku Abdullah.

Baginda juga yakin kerajaan negeri sentiasa menjaga kepentingan rakyat di Pahang dengan melaksanakan pelbagai projek pembangunan termasuk pembinaan jalan berkembar dari Lipis Ke Bentong. - BERNAMA

Artikel Lain