suria

Rasuah: Lelaki Dipenjara Dua Hari, Denda RM57,000

KUANTAN: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara dua hari dan denda RM57,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan merasuah Komander Maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur.

Abdullah Sani Cheah Abdullah, 42, didakwa memberi suapan wang tunai RM5,500 dan dua helai baju T-Shirt kepada Komander Maritim Syd Mohd Fuzi Syd Hasan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas 11 trip pengeluaran pasir oleh bot tunda dan tongkang yang membawa muatan pasir sungai dari muara Kuala Sungai Pahang ke Singapura dari 2 hingga 13 Julai tahun lepas.

Tertuduh, yang bekerja sendiri, didakwa melakukan kesalahan itu antara 7 dan 7.11 pagi di bilik no 8328 Hotel Swiss Garden Resort di sini pada 16 Julai 2010.

Bagi pertuduhan kedua, Abdullah Sani didakwa memberi suapan wang tunai RM5,000 kepada Syd Mohd Fuzi sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas bot tunda dan tongkang terbabit pada masa-masa hadapan antara 3.40 dan 3.55 petang di tempat letak kereta Hotel MS Garden di sini pada 19 Ogos 2010.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan pertama, Hakim Fathiyah Idris menjatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM29,000 atau penjara 18 bulan jika gagal membayar denda itu.

Bagi pertuduhan kedua, Abdullah Sani yang tidak diwakili peguam dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM28,000 atau penjara 17 bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Di mahkamah sama, dua lagi individu turut didakwa memberi rasuah kepada Komander Maritim berkenaan, namun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Ng Kim Heng, 47, seorang kontraktor didakwa memberi suapan wang tunai RM10,000 kepada Syd Mohd Fuzi sebagai dorongan melepaskan sebuah bot tunda bernama Cathay 7 dan tongkang CSF 2306 kerana memiliki borang Kastam palsu semasa diperiksa dan ditahan oleh APMM pada 14 Ogos 2010 dan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas bot tunda serta tongkang yang membawa pasir sungai dari muara Kuala Sungai Pahang ke Singapura pada masa hadapan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 10.30 dan 11.40 malam di ruang lobi Coffee House, Hotel Swiss Garden Resort pada 17 Ogos 2010.

Sementara itu, Mohamad Sho'aib Hanafi, 49, didakwa memberi suapan wang tunai dengan jumlah sama sebagai dorongan melepaskan bot tunda Barlian 10 dan Tongkang QSA 1888 yang masuk ke muara berkenaan pada 15 Okt 2010 dan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas bot tunda dan tongkang yang membawa pasir sungai dari muara Kuala Sungai Pahang ke Singapura pada masa hadapan.

Mohamad Sho'aib, yang bekerja sendiri, didakwa melakukan kesalahan itu antara 2.35 dan 2.45 petang di ruang lobi hadapan kaunter pendaftaran Hotel Grand Continental di sini pada 29 Okt 2010.

Fathiyah kemudian mengenakan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin kepada Ng dan RM7,000 terhadap Mohamad Sho'aib.

Perbicaraan ditetapkan pada 5,6 dan 7 Okt depan bagi kes Ng dan 12 Sept ini bagi kes Mohamad Sho'aib.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Syafinas Shabudin. BERNAMA

Artikel Lain