suria

PAS Tulis Surat Kepada JAIS & gereja Untuk Adakan Pertemuan

KUALA LUMPUR: PAS telah menghantar sepucuk surat kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC)untuk menetapkan tarikh bagi mengadakan pertemuan secara berasingan dengan kedua-dua pihak itu, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Beliau berkata, surat itu dihantar melalui faksimile hari ini yang mencadangkan satu pertemuan dengan Jais diadakan pada 15 Ogos dan DUMC, 16 Ogos.

"Jika kedua-dua pihak bersetuju, kita akan melawat mereka pada tarikh yang ditetapkan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Bagaimanapun, katanya delegasi PAS mungkin akan diketuai oleh Timbalan Presiden Mohamad Sabu kerana Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang kini berada di luar negara.

PAS memutuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat pada Ahad untuk mengadakan pertemuan dengan JAIS dan DUMC secara berasingan bagi membincangkan siasatan JAIS di gereja itu Rabu lepas.

Menurut parti itu, laporan media dan penjelasan EXCO Selangor Datuk Dr Hasan Ali adalah maklumat daripada pihak ketiga.

Sebelum ini, jawatankuasa pusat parti itu tidak membincangkan untuk mengambil tindakan terhadap Hasan kerana mempertahankan siasatan JAIS di gereja tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain