suria

Wanita Mangsa Kerat Di Ampang Warganegara Asing - Polis

KUALA LUMPUR: Polis pada Sabtu mengesahkan mayat wanita yang ditemui dikerat di sebuah apartmen di Ampang pada Rabu lepas adalah warganegara asing.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner (ACP) Amiruddin Jamaluddin berkata pengesahan itu berdasarkan analisis cap jari mayat terbabit.

Bagaimanapun negara asal mangsa masih belum dikenal pasti, katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

"Polis masih mendapatkan maklumat lanjut berhubung pekerjaan serta tempoh jangka masa mangsa berada di sini," katanya.

Mengenai mayat kanak-kanak lelaki yang ditemui bersama keratan mayat wanita itu, Amiruddin berkata pihaknya kini menunggu laporan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) bagi menentukan sama kedua-dua mangsa mempunyai pertalian darah.

Rabu lepas, polis menemui keratan tubuh dan organ manusia termasuk usus dalam beberapa beg plastik serta dalam mangkuk tandas di sebuah unit di tingkat lima Pangsapuri Astaria, Taman Kosas, Ampang.

Selepas siasatan awal, polis mengesahkan kesemua beg plastik itu mengandungi keratan mayat seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki yang dianggar berusia antara lima dan enam tahun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

245,376 PATI Didaftar

Artikel Lain