suria

Kementerian Pelajaran Diminta Kaji Semula Sukatan Subjek Bahasa Tamil

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran diminta mengkaji semula sukatan mata pelajaran bahasa Tamil di peringkat sekolah rendah bagi mengekalkan kepentingan bahasa ibunda kaum India itu.

Naib Presiden MIC, Datuk M. Saravanan berkata, sukatan sedia ada tidak membantu murid menguasai bahasa itu khususnya selepas subjek sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris.

"Dulu mereka (pelajar India) pergi sekolah boleh sebut angka-angka dalam bahasa Tamil berbanding sekarang, ini kerana (bahasa Tamil) tidak diajar di sekolah, ini akan mencacatkan pendidikan bahasa Tamil," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertama Persatuan Gabungan Kebajikan Guru-guru Bersara Sekolah Tamil Malaysia, di sini hari ini.

Saravanan yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar turut meminta penerbit buku teks bahasa Tamil mengkaji sukatan dan isi kandungan buku teks terbabit.

Mengenai persatuan itu, Saravanan berharap anggotanya yang kebanyakan bekas guru dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam sektor pendidikan dapat memainkan peranan bagi memartabatkan pembangunan pendidikan untuk kaum India.

Dalam perkembangan lain, Saravanan menegaskan bahawa kerajaan tidak akan merobohkan mana-mana rumah ibadat termasuk kuil sedia ada.

Malah katanya, rumah ibadat yang terlibat dengan projek pembangunan di ibu kota akan dipindah dan diberi tapak alternatif serta tanah hak milik kekal untuk pembinaan kuil baru.

Katanya kerajaan memperuntukkan RM200,000 untuk tujuan pemindahan dan pembinaan kuil baru itu.

Beliau mengulas mengenai kuil Sri Maha Kaliamman di Jalan Cochrane di sini, yang didakwa akan dirobohkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.

Tapak kuil itu adalah milik Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri dan akan dibangunkan untuk tujuan komersial. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

245,376 PATI Didaftar

Artikel Lain