suria

Apabila Semua Prosiding Serentak

ISNIN lalu seluruh umat Islam menyambut ketibaan bulan Ramadhan dan, sepanjang minggu yang sama juga menkyaksikan beberapa kes berprofil tinggi berjalan secara serentak.

Seperti minggu-minggu sebelumnya, perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya, pegawai bank, Noorhisham Mohammad; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim; dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin berjalan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Selepas didakwa menjadi saksi yang berpaling tadah, pekerja ladang yang menjadi saksi utama, U. Suresh diarahkan untuk memberikan penjelasan berhubung 22 keterangannya yang berbeza kepada pihak polis dan juga di mahkamah.

Jika dia - yang dihukum penjara 20 tahun kerana melupuskan bahan bukti pembunuhan itu - mengakui bahawa tertuduh pertama N.Pathmanabhan adalah majikannya, di mahkamah dia berkali-kali menafikan mengenali bekas peguam itu dan mendakwa, perkenalan mereka hanya bermula selepas mereka berdua ditangkap.

Suresh yang juga seorang pemandu lori, seterusnya dengan lancar menceritakan bagaimana lorinya disewa oleh empat lelaki termasuk seorang Indonesia untuk digunakan bagi membuang 'barang-barang sembahyang' dibeberapa lokasi di Banting.

Pada perbicaraan itu juga, penulis mendapat 'pengetahuan' baru bahawa Akta Pelindungan Saksi di bawah Jabatan Perdana Menteri telah mula dikuatkuasakan apabila bekas pembantu rumah kepada Pathmanabhan, Siti Hamidah Karnax yang berasal dari negara seberang diletakkan di bawah akta tersebut.

Ini bagi melindungi identitinya dan di bawah program tersebut, tiada siapa yang tahu di mana saksi tinggal selain gambarnya juga tidak boleh didedahkan di media.

Minggu pertama tanpa makan dan minum di siang hari juga menyaksikan permulaan perbicaraan bekas Menteri Pengangkutan Malaysia, Tun Dr Ling Liong Sik dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, atas dua pertuduhan menipu Kerajaan Malaysia dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah membabitkan nilai RM1.08 bilion berhubung skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pula, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab dan bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Pembangunan Pelancongan Malaysia Nasional (Pampena) Sdn Bhd, Mohammd Rosly Md Selamat menghadiri perbicaraan kes pecah amanah yang melibatkan RM888,000 yang didakwa berlaku empat tahun lalu.

Dalam kesibukan itu, iaitu pada hari ketiga berpuasa, permohonan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memanggil 15 orang saksi pendakwaan untuk ditemu bual sebelum beliau membela diri dalam kes liwat yang dihadapinya didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada permohonanannya, antara nama yang disenaraikan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak dalam kes tersebut, memutuskan bahawa beliau memerlukan masa untuk meneliti hujahan tersebut dan nas undang-undang sebelum membuat keputusan pada 8 Ogos ini.

Tarikh 8 Ogos itu tidak asing untuk sesiapa yang mengikuti perbicaraan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu kerana tarikh tersebut telah ditetapkan sebelum ini sebagai tarikh untuk mahkamah mendengar keterangan Anwar, selaku saksi pertama dalam pembelaannya yang telah ditetapkan akan sehingga 26 Ogos.

Apapun, wartawan yang berkampung di mahkamah boleh menarik nafas lega selepas prosiding inkues bagi menyiasat kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed yang bermula pada 4 Julai lalu melabuhkan tirainya pada Khamis lalu sebelum keputusannya diketahui pada 29 September depan.

Itu adalah dugaan di bulan puasa, dan sama seperti di bulan-bulan lain, ia hanya tugasan dan amanah yang perlu dipikul demi sesuap nasi.

Sekurang-kurangnya tenaga yang ada berkurangan kerana sibuk mencatat nota-nota keterangan dalam keadaan yang berhawa dingin, jauh lebih baik daripada mereka yang perlu berada di bawah terik matahari - suatu keadaan yang perlu disyukuri.

Cabaran ini akan diteruskan pada minggu kedua berpuasa dan ia mungkin akan bertambah 'getir' dan sibuk kerana beberapa kes syariah telah disenaraikan akan berjalan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

245,376 PATI Didaftar

Artikel Lain