suria

Kajian Pra-Kemungkinan Mengenai Kereta Api Berkelajuan Tinggi Siap Menjelang 19 Ogos

KUALA LUMPUR: Kajian pra-kemungkinan berhubung kereta api berkelajuan tinggi menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura dijangka siap menjelang 19 Ogos, kata Pengarah Pengangkutan Awam Bandar NKRA, Ahmad Suhaili Idrus.

"Ia akan siap pada 19 Ogos dan akan dikemukakan kepada Kabinet untuk mendapatkan kelulusan. Kami berharap dapat memulakan kajian terperinci tahun ini setelah mendapat kelulusan," kata beliau di pengemaskinian Program Transformasi Kerajaan NKRA untuk tempoh Januari-Jun 2011 di sini Rabu.

Beliau berkata kajian itu akan membolehkan kerajaan membuat keputusan mengenai koridor dan stesen-stesen yang akan ditempatkan antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Ahmad Suhaili juga berkata faktor beban untuk KTM Komuter yang pada 140 peratus hari ini, dijangka dapat dikurangkan kepada 125 peratus seperti yang disasarkan pada 2011 dengan ketibaan kereta api baharu tahun ini.

Beliau berkata kelompok pertama daripada 38 set kereta api enam gerabak akan tiba pada September sementara empat lagi set akan tiba pada akhir tahun dan selebihnya pada Jun tahun depan.

Ahmad Suhaili berkata pengendali landasan yang termasuklah RapidKL Kelana Jaya dan Ampang line, Monorail, KTM Komuter dan KLIA Transit, mencatatkan peningkatan 15.7 peratus antara Januari dan Mei berbanding tempoh yang sama 2010 yang menyaksikan peningkatan 79,269 pengguna.

"Pencapaian ini adalah hasil daripada operasi penuh 29 set kereta api empat gerabak baharu untuk Kelana Jaya LRT line," tambah beliau.

Beliau berkata Terminal Pengangkutan Bersepadu Bandar Tasik Selantan yang mula beroperasi pada bulan Mac telah membantu mengurangkan 500 bas dari pusat bandar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain