suria

Warga Emas Mati Dibunuh Dalam Kejadian Samun

IPOH: Seorang warga emas ditemui mati dipercayai dibunuh dalam satu kejadian samun di rumahnya di Tanjung Piandang, Parit Buntar, kira-kira 160km dari sini, awal Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata mayat Teoh Ah Nya@Teoh Kooi Lan, 73, ditemui pada pukul 1.30 pagi oleh adiknya yang kemudian memaklumkan kepada pihak polis.

Hasil pemeriksaan, polis mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian leher mangsa dipercayai dipukul dengan objek keras, selain kehilangan barang kemas bernilai RM6,000 dan wang tunai RM1,000, katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Katanya pintu belakang rumah mangsa didapati telah dipecahkan.

Polis percaya kes itu telah dapat diselesaikan dengan penahanan seorang suspek lelaki warga Myanmar berusia 25 tahun, tidak jauh daripada tempat kejadian pada pukul 2.50 pagi tadi, katanya.

Dzuraidi berkata suspek ditahan reman selama lima hari untuk membantu siasatan.

Beliau berkata ini merupakan kes bunuh kedua di Perak dalam tempoh seminggu dan suspek kedua-dua kes berjaya ditahan dalam tempoh kurang daripada 24 jam.

Khamis lepas, Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak Dr Rohani Kasim, 38, ditemui mati dipercayai dibunuh di pangsapurinya di Tambun.

Polis kemudian menahan empat suspek lelaki berusia antara 20 hingga 26 tahun dalam tempoh kurang 24 jam selepas mayat wanita itu ditemui. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

245,376 PATI Didaftar

Artikel Lain