suria

Rosmah Minta Badan Amal Negeri Pelbagaikan Program Untuk OKU

KOTA KINABALU: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor menyeru badan amal di negeri-negeri supaya melaksanakan pelbagai program yang dapat mensiapsiagakan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) ke tahap lebih tinggi.

Semasa menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada golongan OKU di bawah program Semai Bakti di sini Rabu, beliau berkata kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan, badan korporat dan individu perlu ditingkatkan untuk memastikan golongan itu sentiasa menjadi sebahagian daripada masyarakat.

"Saya menyeru kepada seluruh masyarakat agar kita tidak sesekali terlepas pandang terhadap kebajikan golongan ini. Usahlah kita memandang enteng keupayaan anak-anak istimewa ini.

"Saya kerapkali menyatakan bahawa mereka perlu diberi lebih ruang untuk memainkan peranan secara lebih menyeluruh dan saksama agar dapat mencapai potensi maksimum sebagai anggota masyarakat yang mampu menyumbang ke arah pencapaian matlamat dan wawasan negara," katanya.

Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), berkata beliau pasti golongan muda OKU mempunyai keupayaan masing-masing yang setara dan mungkin lebih hebat daripada anak-anak yang sempurna sifatnya.

"Lihat saja Oscar Pistorius yang kudung kedua-dua kakinya, kini beliau seorang pelari pecut. Prof Stepthen Hawkings yang menghidapi celebral palsy kini seorang pakar fizik dan matematik, Tom Whittaker yang kudung dari lutut adalah pengasas Cooperative Wilderness Handicapped Outdoor Group dan juga pendaki gunung Everest kudung yang pertama, serta Marla Runyan iaitu wanita cacat penglihatan tetapi seorang pelari Olimpik.

"Justeru, saya amat mengharapkan agar tiada lagi kekangan minda di kalangan ibu bapa mahupun guru-guru di pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), mahupun masyarakat sekeliling agar anak-anak istimewa ini keluar dari kepompong 'tidak ku duga cacat begini' sebaliknya berkata 'saya tidak melihat diri saya sebagai seorang OKU'," kata Rosmah.

Beliau berkata Semai Bakti merupakan program khusus untuk menyalurkan khidmat bakti kepada golongan OKU dan merupakan usahasama Bakti, badan amal negeri, pihak kerajaan dan swasta.

Program pada Rabu yang dijalankan di gedung membeli belah 1Borneo, melibatkan 261 OKU dari 17 pusat PDK dari sekitar Sabah yang menerima sumbangan berupa duit raya, dua pasang baju, dua jenis biskut raya, serunding, kain pelikat, tudung (perempuan) atau songkok dan kain sampin (lelaki).

Rosmah berkata sumbangan Bakti kepada pusat PDK telah dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM2,000 tahun ini untuk aktiviti tahunan.

Bakti juga akan menyerahkan bantuan RM15,000 untuk diagihkan oleh Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Sabah (Bakisa) kepada anak-anak OKU di pusat PDK yang berdaftar dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Sumbangan RM15,000 ini juga akan diserah kepada setiap badan amal negeri yang menjalin kerjasama dengan Semai Bakti untuk disalurkan kepada pusat-pusat PDK yang berdaftar di negeri masing-masing," kata Rosmah.

Syarikat pemaju gedung membeli belah 1Borneo, Sagajuta (Sabah) Sdn Bhd, hari ini menyerahkan sumbangan RM10,000 untuk Bakti dan RM10,000 lagi untuk Bakisa bagi program Semai Bakti. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain