suria

Kementerian Perkenal Tiga Pendekatan Jayakan Dasar 30 Peratus Wanita - Shahrizat

KUALA LUMPUR: Masyarakat telah menggariskan tiga pendekatan dalam menjayakan dasar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat.

Menterinya Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil berkata, pendekatan tersebut ialah mewujudkan latihan khusus untuk wanita yang berpotensi memegang jawatan itu serta mewujudkan pangkalan data wanita yang berkelayakan.

"Pendekatan ketiga ialah meningkatkan pemahaman pembuat keputusan di dalam syarikat tentang kepentingan wanita menjadi sebahagian daripada anggota lembaga pengarah dalam syarikat berkenaan," katanya.

Beliau berucap demikian pada majlis makan malam Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) sempena sambutan Hari Wanita 2011 di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, di sini, Rabu.

Hadir sama isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Yang Dipertua NCWO Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 700 orang tokoh wanita dari pelbagai bidang, Shahrizat berkata, beliau yakin dengan sokongan banyak pihak sasaran itu boleh dicapai menjelang tahun 2016.

Pada 27 Jun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan bahawa jemaah menteri telah meluluskan dasar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat di negara ini.

Sementara itu, Shahrizat berkata sebanyak RM12 juta dalam bentuk geran telah diagihkan kepada 108 badan bukan kerajaan (NGO) sejak awal tahun sehingga kini bagi menjalankan aktiviti dan program pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

Katanya pengagihan geran itu dilakukan secara saksama tanpa mengira latar belakang NGO tersebut selaras dengan konsep 1Malaysia iaitu kerajaan memberikan manafaat kepada semua rakyat.

"Sejak tahun 2002 hingga 2010 kerajaan telah mengagihkan geran bernilai RM156 juta kepada 1,926 NGO untuk program itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain