suria

Syor Beri Kuasa Kepada Bekas Pegawai SPRM Cegah Rasuah

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bercadang untuk memberi kuasa kepada bekas pegawai suruhanjaya itu yang kini bekerja dengan syarikat milik kerajaan (GLC), swasta atau agensi kerajaan bagi membolehkan mereka berperanan sama seperti pegawai SPRM dalam usaha mencegah rasuah di tempat kerja.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata, proses pelantikan akan dilakukan sebelum mereka boleh menggunakan kuasa-kuasa sebagai pegawai penguat kuasa.

Menurutnya, status pelantikan tersebut adalah sama seperti polis bantuan.

“Perkara ini amat penting kerana dalam menjalankan siasatan terutama semasa menjalankan siasatan dalaman, halangan kepada penyiasat dalaman adalah memanggil mereka yang terlibat sahaja dalam organisasi terbabit.

“Dengan adanya kuasa yang diberikan oleh SPRM kepada mereka, mereka boleh menggunakan kuasa tersebut untuk memastikan proses penyiasatan dijalankan dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani Ikrar Integriti Korporat Tenaga Nasional Berhad dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, Selasa.

Ikrar Integriti Korporat adalah hasil kerjasama di antara TNB dan SPRM dalam merealisasikan misi kerajaan selari dengan inisiatif kerajaan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu membanteras rasuah.

Turut hadir termasuk Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie; Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khatib Mohamad Noh dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya, Datuk Sutina Sutan.

Che Khatib mengetuai warga TNB melafazkan ikrar atau aku janji tidak melakukan amalan rasuah di hadapan Leo dan Abu Kassim.

Sementara itu, Leo dalam ucapannya berkata, bagi merealisasikan komitmen syarikat terhadap ikrar tersebut , TNB akan mengaturkan program-program pencegahan rasuah secara berterusan.

Jelasnya, ini dilakukan dengan menubuhkan satu jawatankuasa khas mengenai integriti atau satu jabatan yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap isu-isu integriti, pengukuhan dan pematuhan.

Artikel Lain