suria

SPR Tiada Kuasa Ubah Sistem Pemilihan - Wan Ahmad

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai kuasa mutlak bagi melakukan proses reformasi terhadap sistem pilihan raya sedia ada di negara ini.

Sebaliknya, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, kuasa berkenaan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan ketika ini.

"Untuk melakukan perubahan dalam sistem pilihan raya ia bukan perkara mudah kerana perlu melalui beberapa proses kerana ia melibatkan satu dasar yang besar.

"Tugas SPR hanya melaksanakan proses pilihan raya, sebaliknya pihak kerajaan yang memerintah pada hari ini mempunyai kuasa untuk melakukan perubahan dan pembaharuan terhadap sesuatu sistem sedia ada," katanya pada majlis Wacana Ilmiah anjuran akhbar Sinar Harian di sini, Selasa.

Wacana bertajuk 'Apa selepas 9 Julai' itu turut menampilkan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S.Ambiga dan Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharudin sebagai ahli panel.

Mengulas mengenai sama ada SPR bersetuju melakukan perubahan terhadap sistem pilihan raya sedia ada termasuk menerima lapan tuntutan yang terkandung dalam memorandum Bersih, Wan Ahmad berkata pihaknya sentiasa menerima pandangan semua pihak bagi mewujudkan sistem pilihan raya yang adil di negara ini.

Bagaimanapun menurutnya, SPR yang ditubuhkan di bawah Perlembagaan Persekutuan terikat dengan dasar sesebuah kerajaan yang memerintah.

"Nak ubah sistem pilihan raya melibatkan soal dasar. SPR hanya boleh cadangkan sesuatu sistem, kemudian ia perlu dirujuk kepada pihak Jabatan Peguam Negara dan kemudiannya akan diusulkan di Parlimen.

"Kerajaan yang memerintah berkuasa untuk menentukan sesuatu perubahan sistem. Kalau Pakatan Rakyat memerintah sama juga... mereka akan ada kuasa menentukan sesuatu perubahan," katanya.

Baru-baru ini Bersih mengemukakan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong yang antara lain meminta supaya pihak SPR membersihkan senarai daftar pemilih, mereformasi undi pos, menggunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minima 21 hari, memperkukuh institusi awam, menghentikan rasuah dan menghentikan politik kotor.

Selain itu Wan Ahmad meminta semua pihak agar tidak melihat badan berkenaan sebagai musuh sebaliknya tampil memberikan kerjasama dalam usaha mewujudkan sistem pilihan raya yang adil.

Katanya orang ramai perlu meletakkan kepercayaan kepada SPR kerana adalah menjadi tugas dan tanggungjawab suruhanjaya itu untuk mengendalikan dan memastikan sistem pilihan yang dilaksanakan berjalan dengan adil dan telus.

"Tuan-tuan jangan jadikan SPR ini sebagai musuh, kalau nak pastikan kita laksanakan sistem yang adil dan baik... kita semua perlu berkerjasama.

"Kami terbuka, parti-parti politik adalah pelanggan utama kami. Kami juga sentiasa bertemu dengan badan bukan kerajaaan (NGO) termasuk Bersih untuk meneri maklum balas untuk diperbaiki," katanya.

Artikel Lain