suria

SPAD kena bertindak...

SABTU lalu, seorang pengguna mengadu kepada penulis yang kebetulan berada di stesen transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya kerana hendak ke ibu kota. Pengadu tersebut, seorang lelaki berusia 42 tahun dan berkhidmat di salah sebuah bank komersial di Petaling Jaya berasa tersangat sakit hati dengan sikap kurang ajar pemandu teksi yang enggan menggunakan meter ketika dia memberitahu hendak menuju ke Subang Jaya.

Kata pengadu itu, pemandu teksi tersebut meminta RM25 daripadanya jika hendak ke Subang Jaya. Apabila dia mengingatkan pemandu teksi tersebut adalah menjadi satu kesalahan untuk teksi Lembah Klang tidak menggunakan meter, pemandu teksi itu membeliakkan matanya sambil berkata; “Mau naik bayar RM25....tak mau naik pergi cari teksi lain.” Dan sebaik sahaja dia menuju ke sebuah lagi teksi yang sedang menunggu penumpang dalam satu barisan yang sama, jawapan yang dia terima lagi menyakitkan hati. “Mau pakai meter you pergi sebelah sana...kalau you berani you report...” sambil menuding jari menunjuk ke arah seberang lebuh raya Puchong-Damansara yang mana terdapat juga teksi sedang menunggu para pengguna LRT. Adalah tidak pasti apakah di sebelah sana, mereka menggunakan meter atau sebaliknya.

Kemudian kata pengadu itu lagi, datang seorang remaja yang kelihatan seperti seorang pelajar bertanya kepada pemandu-pemandu teksi yang sedang beratur menunggu ‘mangsa’ di stesen itu yang dia hendak pergi ke Sunway Piramid. “Lima belas ringgit...” jawab pemandu teksi yang sama. Pelajar itu pun tanpa banyak bicara, kata pengadu tadi, berjalan pergi dari situ.

Jadi hasil cerita pengadu tadi, penulis membuat kesimpulan bahawa kesemua pemandu teksi yang sedang beratur menunggu penumpang di Stesen LRT Kelana Jaya telah berpakat untuk tidak menggunakan meter. Apakah ini satu pemandangan biasa di stesen-stesen LRT atau tingkah laku segelintir pemandu teksi sahaja? Mereka bukan sahaja berani melakukan sesuatu yang bercanggah dengan peraturan malah mereka memperlihatkan sikap kurang ajar dan berkelakuan seperti samseng jalanan. Siapa yang berani melawan cakap mereka. Malah mereka tidak takut dengan pengguna. Sebaliknya mereka mencabar pengguna supaya membuat aduan di atas keengganan mereka menggunakan meter. Jadi apabila pengguna sudah kehilangan daya untuk melawan, hanya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat atau SPAD sahaja yang mampu menangani isu seperti ini.

Namun begitu sepertimana kebanyakan agensi, mereka hanya bertindak apabila ada aduan. Kita tertanya-tanya kenapa dan mengapakah penguatkuasaan tidak boleh dilakukan tanpa terlebih dahulu menunggu aduan. Kenapa tidak menggunakan pendekatan pro-aktif dengan menjalankan operasi dari semasa ke semasa di tempat-tempat menunggu teksi dan menyamar sebagai orang awam dan lihat dengan mata sendiri bagaimana perilaku pemandu-pemandu teksi yang enggan menggunakan meter ini melayani dan membuli pengguna sepertimana kita semua.

Jika terbukti benar, pemandu seperti ini tidak harus dibenarkan lagi membawa teksi kerana sikap buruk mereka mencemar nama baik industri teksi di Lembah Klang yang selama ini sudahpun tercemar dengan kondisi teksi yang buruk dan teruk dan tidak layak dipanggil teksi lagi.

Terima kasih buat Lim Kim Wah dan rakan-rakannya...

Encik Lim Kim Wah baru lebih kurang tiga bulan dipinjamkan ke Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dari Jabatan Penerangan Malaysia. Tetapi beliau mengenali setiap orang di JPSM bagaikan beliau telah berkhidmat di jabatan tersebut sepanjang hayatnya. Lim adalah Penolong Pengarah Perhubungan Awam JPSM yang baru. Sepanjang hayatnya, beliau berkhidmat di Jabatan Penerangan tetapi apabila adanya kekosongan jawatan di JPSM, beliau tanpa banyak bicara menerima posting ke sana. Kata Lim, beliau hanya ada beberapa bulan sahaja lagi untuk berkhidmat sebelum pencen wajib. Dan JPSM adalah tempat yang paling sempurna untuk beliau menamatkan perkhidmatan panjangnya sebagai seorang kakitangan awam. “Jabatan ini sepertimana namanya terletak seolah-olah di dalam hutan kerana ia kelilingi oleh hutan sekunder... dan saya sangat sukakan tempat ini,” kata Lim kepada penulis sewaktu penulis berkunjung ke pejabatnya yang terletak di pinggir Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur.

Untuk orang yang tidak biasa, sudah pastinya tidak akan jumpa dengan jabatan ini jika mencarinya tanpa ada tunjuk arah. Ini kerana sepertimana kata Lim, JPSM benar-benar berada di celah-celah ‘hutan kecil’ di pinggir kota. Jika tidak kerana adanya bangunan baru jabatan itu yang sedang dalam pembinaan, nescaya kita akan terasa yang kita sedang berada di luar Kuala Lumpur jika kita mengunjungi jabatan tersebut buat pertama kalinya.

Tetapi itu bukanlah cerita yang hendak penulis sampaikan kepada para pembaca semua. Itu hanyalah cerita sampingan. Yang penulis ingin nyatakan di sini ialah rasa kagum dan penghargaan penulis kepada kakitangan awam seperti Lim Kim Wah dan rakan-rakannya di JPSM seperti Haji Zahari Ibrahim, iaitu Pengarah Penguatkuasaan dan Haji Samsuddin dari Bahagian Silvikultur Hutan yang telah banyak membantu dan memberi kerjasama kepada penulis sepanjang pengalaman mencungkil rahsia hutan dan cara mereka bekerja dan mengurus hutan.

Lim sendiri adalah seorang Pegawai Perhubungan Awam yang bukan sahaja faham akan tanggungjawabnya di jabatan berkenaan malah memperlihatkan ciri-ciri seorang yang bekerja dalam bidang perhubungan awam dalam ertikata yang sebenarnya. Dia menegur sapa setiap kakitangan jabatan yang berselisih bahu dengannya sambil memperkenalkan mereka kepada penulis dan wartawan penulis. Malah dia menyapa pegawai-pegawai baru yang melaporkan diri di jabatan itu seolah-olah dia mengenali mereka secara peribadi.

Lim juga tahu di mana hendak mencari info mengenai bahan yang diperlukan penulis untuk tujuan menulis berita. Beliau bercerita mengenai jabatannya seperti beliau sudah berkhidmat di situ bertahun-tahun lamanya. Beliau membawa dan memperkenalkan penulis kepada pakar-pakar perhutanan di jabatannya dan mereka bercerita pula kepada penulis mengenai rahsia hutan, pokok-pokok dan jenis-jenis spesies dengan penuh perasaan dan semangat hinggakan mendengar cerita mereka, anda terasa seperti sedang berada di dunia lain dan enggan berganjak dari tempat duduk. Sebabnya? Cerita mereka mendorong anda untuk bertanya soalan demi soalan.

Misalnya, ahli silvikultur perhutanan bernama Haji Samsuddin boleh bercerita tentang pokok cengal iaitu antara pokok paling berharga di Malaysia dan keunikan lain-lain spesies pokok, sepanjang hari. Beliau berkata, di dunia ini, spesies pokok cengal hanya terdapat di Malaysia, Thailand dan Sumatera. Tetapi kini hanya tinggal Malaysia sahaja yang masih memiliki spesies tersebut. Jadi apabila renjer hutan menemui sebatang spesies pokok cengal gergasi di Hutan Simpanan Kekal Pasir Raja, Terengganu yang berusia 1,500 tahun, ia boleh dianggap sebagai spesies cengal yang tertua di dunia yang masih hidup.

Dan dia memberitahu, di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur terdapat sebatang pokok cengal yang masih hidup dan dijaga dengan rapi oleh JPSM. Pokok hutan yang begitu hebat masih boleh kekal hidup di tengah-tengah ‘hutan batu’ Kuala Lumpur dalam keadaan semula jadinya? Di mana? Para pembaca semua bolehlah membuat tekaan sendiri kerana bukan banyak pun hutan simpan kekal yang masih ada di Kuala Lumpur. Itu pun, penulis sendiri terkejut apabila diberitahu bahawa Kuala Lumpur sendiri masih memiliki hutan simpan kekal yang digazetkan - bermakna ia tidak boleh dicantas atau dimusnahkan sama sekali dan harus dipelihara dalam keadaan kekalnya sepertimana sekarang.

Di celah-celah perbualan antara penulis dengan Haji Sam (sebagaimana beliau dipanggil oleh rakan-rakannya) tiba-tiba Lim Kim Wah muncul kembali dengan membawa maklumat-maklumat baru yang penulis perlukan. Perwatakannya amat menyenangkan dan membantu. Dan dia adalah wajah hadapan JPSM. Sikapnya yang peramah dan sedia membantu itu pada bila-bila masa, wajar dicontohi dan menjadi ikutan lain-lain pegawai perhubungan awam di semua jabatan dan agensi awam. Terima kasih Lim Kim Wah di atas segala-galanya dan syabas Datuk Razani Ujang (Ketua Pengarah JPSM) kerana memiliki pegawai dan kakitangan yang dedikasi seperti Lim Kim Wah, Zahari Ibrahim dan Haji Sam...

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain