suria

MAFTA Akan Dimuktamadkan Seawal 2012

KUCHING: Perjanjian dua hala Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (MAFTA) yang dicadangkan dalam usaha menyediakan penglibatan ekonomi yang lebih strategik dijangka dimuktamadkan pada awal tahun depan, kata Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Miles Kupa pada Isnin.

Beliau yakin MAFTA akan memberikan Malaysia dan Australia peluang untuk menilai sendiri hubungan perdagangan masing-masing yang pesat berkembang.

"Perdagangan ialah bahagian penting hubungan Australia-Malaysia.

"Pada masa ini, kami sedang mengadakan perundingan mengenai perjanjian perdagangan bebas dua hala, yang mana kedua-dua perdana menteri Australia dan Malaysia telahpun bersetuju untuk dimuktamadkan menjelang awal 2012," kata beliau dalam ucap tamanya "Kejuruteraan Australia - Membina Jambatan antara Negara" bersempena dengan kongres Kejuruteraan Asean Australia 2011 di sini.

Teks ucapannya dibaca oleh Pesuruhjaya Perdagangan dan Pelaburan Kanan (Malaysia dan Brunei), Paul Martins.

Kupa berkata pencapaian Perjanjian Perdagangan Asean-Australia-New Zealand pada 2009 ialah langkah penting dalam hubungan perdagangan antara Australia dan Asia.

Ia adalah niaga janji perdagangan terbesar Australia yang pernah dimeterai setakat ini.

Mengenai ekonomi pula, beliau berkata Sarawak telah berjaya membuktikan ia destinasi utama untuk pelaburan Australia.

Beliau berkata cadangan oleh Rio Tinto Alcan untuk membina kilang peleburan aluminium bernilai RM3 bilion berdekatan Bintulu merupakan satu pelaburan penting yang mempunyai hubungan kukuh dengan Australia.

"Kita juga boleh melihat kepada pelaburan signifikan di Sarawak oleh syarikat Australia, OM Holdings, untuk membina kilang peleburan mangan dengan rakan kongsi tempatan di bawah inisiatif Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score)," tambah beliau.

Beliau berkata projek-projek itu akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi Sarawak dan mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Bagi pendidikan pula, Kupa berkata pada masa ini, kira-kira 22,000 pelajar Malaysia belajar di Australia, dengan 300,000 alumni Malaysia institusi Australia sejak beberapa tahun lepas.

Beliau berkata yang Sarawak juga berada di barisan hadapan hubungan pendidikan antara Australia dan Malaysia dengan penubuhan kampus Universiti Teknologi Swinburne di sini dan kampus Universiti Curtin di Miri.

"Australia ialah destinasi nombor satu untuk para pelajar Malaysia dan kejuruteraan kekal sebagai bidang subjek yang amat popular.

"Ini tidak memeranjatkan jika dilihat kepada pembangunan dalam ekonomi Malaysia sejak dua dekad yang lepas, termasuk infrastruktur dan sektor-sektor utama seperti industri automotif dan petroleum," tambah beliau.

Kongres tiga hari itu bermula Isnin dengan bertemakan "Kejuruteraan untuk Kemampanan". Ia dihadiri antaranya oleh para jurutera, badan profesional, kerajaan dan industri dari 16 negara.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain