suria

Lelaki Diberkas Berhubung Kematian Rakan

JOHOR BAHARU: Seorang lelaki rakyat Singapura yang dilaporkan hilang setelah diculik enam bulan lepas u di kawasan ladang getah di Kajang, Selangor, semalam, hasil penahanan terhadap rakan baiknya, 12 Julai lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata usaha mengesan peniaga berumur 40an itu dilakukan oleh pasukan khas yang ditubuhkan selepas isterinya membuat satu laporan polis pada 26 Januari lepas mengenai kehilangannya.

"Polis dalam menjalankan siasatan mendapati lelaki itu telah diculik berikutan isterinya ada membuat bayaran tebusan sebanyak RM12,000 tiga minggu selepas laporan polis dibuat.

"Hasil siasatan seterusnya, polis akhirnya berjaya menjejak seorang lelaki yang merupakan rakan baik mangsa lalu menahannya di Klang, Selangor, 12 Julai lepas," katanya kepada pemberita, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Khamis.

Mohd Mokhtar berkata lelaki berusia 40an itu yang merupakan rakyat tempatan membawa polis ke ladang getah terbabit semalam sebelum polis menemui satu mayat tertanam di kawasan berkenaan.

Beliau berkata pihaknya kini sedang menunggu laporan bedah siasat ke atas mayat berkenaan bagi mengetahui punca kematian sebenar.

Katanya, pihaknya percaya kes terbabit berkaitan dengan kewangan dan ia disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar berkata pihaknya berjaya menyelesaikan 45 kes pecah rumah di sekitar bandar raya ini selepas menahan tiga lelaki dan tiga wanita rakyat asing di sebuah rumah kedai di Taman Tasek, di sini, Jumaat lepas.

Beliau berkata kesemua mereka yang merupakan dua lelaki rakyat Indonesia, seorang lelaki rakyat Myanmar dan tiga wanita rakyat Indonesia ditahan kira-kira pukul 1 pagi oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan hasil maklumat orang awam.

"Polis merampas 12 barangan yang disyaki hasil samun dan pecah rumah termasuk empat alat pemain cakera video digital, seunit kamera dan empat beg tangan dalam rumah kedai berkenaan," katanya.

Katanya kesemua mereka yang berumur 21 hingga 30 tahun itu didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan mereka kini direman sehingga 28 Julai depan untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959 pindaan 2002. - BERNAMA

Artikel Lain