suria

Hanya 10 Peratus Pemilik Lesen Perdagangan Daftar Semula - SPAD

JOHOR BAHARU: Sejak April lepas hingga sekarang, hanya 10 peratus daripada 50,000 pemilik lesen kenderaan perdagangan mendaftarkan semula lesen mereka, kata Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata angka itu terlalu rendah sedangkan tarikh akhir mereka berbuat demikian ialah 30 September ini.

"Ini bermakna selepas tarikh ini mereka tidak ada lesen lagi," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan pengusaha kenderaan perdagangan Johor, di sini, Selasa.

Syed Hamid berkata proses pendaftaran semula itu bertujuan mengemas kini rekod selain memajukan sistem pengangkutan awam darat di negara ini, bukan untuk menyusahkan mereka.

Mengulas pertemuan hari ini, Syed Hamid berkata pelbagai maklum balas diterima beliau termasuk saranan agar kerajaan melanjutkan tempoh hayat kereta dan bas boleh digunakan.

Semua maklum balas dan rayuan mereka akan diambil kira sebelum keputusan akhir dibuat bagi penggubalan dasar yang akan dibentang kepada kerajaan kelak, katanya.

Syed Hamid berkata SPAD akan ke Putrajaya, Perak dan Kedah minggu ini bagi perjumpaan serupa dalam usaha suruhanjaya membaiki masalah sistem pengangkutan darat.

Mengulas isu berkaitan, Syed Hamid meminta pengusaha van sekolah yang beroperasi secara haram agar memohon lesen bagi menjamin keselamatan pelajar sekolah.

"Kita (SPAD) tidak mahu anak-anak kita diletakkan dalam keadaan bahaya, ada lesen ada insuran lindung, jadi kita minta mereka tampil mohon lesen kerana kita juga tidak mahu menyusahkan sesiapa," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain