suria

Kompleks Istana Negara Baru Simbol Raja Berperlembagaan

KOMPLEKS Istana Negara baru yang terletak di atas bukit berhampiran Jalan Duta merupakan simbol sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan oleh Malaysia sejak merdeka lagi.

Justeru ciri-ciri seni bina yang menekankan aspek estetika dilihat sebagai mercu tanda dan bakal menjadi khazanah negara pada masa akan datang.

Pembinaan Kompleks Istana Negara ini juga merupakan sesuatu yang istimewa kerana ia merupakan kali pertama kerajaan mendirikan istana buat Yang di-Pertuan Agong bersemayam.

Istana Negara di Jalan Istana pada asalnya merupakan kediaman peribadi yang dibeli oleh kerajaan Selangor selepas Perang Dunia Kedua dan kemudiannya dibeli oleh kerajaan Persekutuan pada 1957.

Dijangka siap sepenuhnya pada bulan hadapan lokasi bersemayam Yang di-Pertuan Agong selepas ini bernilai kira-kira RM800 juta ini bakal menggantikan Istana Negara yang telah digunakan sejak tahun 1928.

Pembinaan Kompleks Istana Negara ini meliputi tiga komponen utama termasuk pembinaan Kompleks Istana Negara, persimpangan bertingkat di Jalan Duta ke pintu masuk utama istana dan usaha menaik taraf Jalan Changkat Semantan ke pintu kedua istana.

Di sebalik sejarah pembinaan kompleks berkenaan, terdapat satu lagi isu yang mencuri tumpuan apabila The Star dalam laporannya pada 27 Jun tahun lalu mendakwa kira-kira 1,000 pekerja asing yang terbabit dalam projek pembinaan tersebut tidak dibayar gaji selama tiga bulan.

Selepas itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Mansor telah mengarahkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menjalankan siasatan bagi menyiasat dakwaan tersebut.

Bagaimanapun berdasarkan siasatan dijalankan oleh CIDB, Shaziman berkata beliau mendapati pekerja asing yang bekerja di kompleks Istan Negara telah dibayar gaji oleh pihak kontraktor yang terlibat.

Namun beliau menegaskan akan mengambil tindakan termasuk menyenaraihitamkan syarikat sub-kontraktor yang didapati melanggar undang-undang.

Ekoran perkara tersebut dua laporan telah di buat kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan tersebut.

Menutup kisah kontroversi mengenai pembinaan kompleks Istana Negara itu, satu jamuan negara akan diadakan di sana selepas ia siap sepenuhnya.

Kabinet dijangka akan mengadakan jamuan negara sempena tamatnya tempoh perkhidmatan Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada Disember ini di Kompleks Istana Negara tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain