suria

Komitmen Dan Dedikasi Guru Resipi Kejayaan Pelajar - Rosmah

LONDON: Komitmen dan dedikasi guru dalam melaksanakan tugas mereka adalah antara bahan utama dalam resipi bagi pelajar mencapai kejayaan dalam kehidupan.

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata dedikasi yang tinggi berupaya membawa perubahan besar termasuk pada kalangan pelajar daripada keluarga yang serba kekurangan.

Rosmah yang menemani suami Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatan rasmi ke United Kingdom (UK) berkata demikian ketika melawat sekolah untuk perempuan Elizabeth Garrett Anderson (EGA) School di Islington, di sini.

Sekolah itu yang dinamakan sempena wanita pertama memperolehi kelayakan perubatan di UK, Elizabeth Garrett Anderson, ditubuhkan dengan matlamat mendidik wanita untuk masa depan.

Kebanyakan pelajar EGA adalah daripada pelbagai kaum dengan latar belakang ekonomi yang berbeza, dan lebih 90 peratus menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

Merujuk kepada program Permata yang dimulakan beliau, Rosmah berkata inisiatif itu juga meliputi murid daripada keluarga berpendapatan rendah.

Katanya sebuah saluran televisyen antarabangsa telah menyatakan hasrat untuk membuat dokumentari mengenai projek yang bertujuan mendidik kanak-kanak pintar dan berbakat itu.

Sementara itu, Pengetua EGA Jo Dibb berkata kehadiran tetamu terkemuka seperti Rosmah amat penting kepada pelajar kerana dapat membantu meningkatkan keyakinan diri mereka.

Katanya perkara paling penting bagi golongan muda yang datang daripada kelompok serba kekurangan ialah menyedari mereka mempunyai potensi seperti orang lain dan percaya mereka juga boleh berjaya.

"Sekolah yang baik adalah sekolah yang mempunyai sasaran tertinggi dan menegaskan bahawa asal-usul tidak menentukan masa depan anda, sebaliknya apa yang anda buat akan mencorakkan masa depan itu.

"Dan itu mesej yang kami sampaikan kepada pelajar kami," katanya.

Michelle Obama, isteri kepada Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, pernah melawat sekolah itu pada 2009, dan dipertemukan kembali dengan sekumpulan pelajar EGA ketika melawat UK pada Mei lepas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain