suria

Perhimpunan Patriot Ditunda Ke 12.30 Tengah Hari

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Patriot oleh Pemuda Umno dan Kelab 1Malaysia yang dijadualkan pada pukul 10 pagi ini ditangguhkan ke pukul 12.30 tengah hari ini, menurut sumber.

Katanya, penangguhan itu terpaksa dibuat kerana proses mengumpul ahli daripada dua kumpulan tersebut memakan sedikit masa.

"Kami terpaksa tunda perhimpunan ke tengah hari. Proses mengumpul ahli tidak mudah dan memakan sedikit masa," katanya.

Jelas sumber itu lagi, ahli kedua kumpulan yang menyertai perhimpunan sebagai bantahan kepada Bersih itu akan berkumpul di sekitar bangunan BB Plaza.

"Kita juga akan berusaha membawa Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin nanti," katanya.

Pada Jumaat, Khairy memutuskan kedua-kedua kumpulan itu akan meneruskan perhimpunan di Jalan Bukit Bintang menuju ke Stadium Merdeka pada pukul 10 pagi walaupun tidak mendapat permit perhimpunan daripada polis.

Sementara itu, sehingga pukul 11.20 pagi ini, keadaan di sekitar kawasan Bukit Bintang kelihatan tenang dan terkawal.

Malah kawasan yang kebiasaannya sesak di hujung minggu itu tetap dibanjiri orang ramai dan pelancong asing.

Artikel Lain