suria

Terdapat Kemungkinan Kegiatan Penyeludupan Pasir Berlaku:APMM

JOHOR BARU: Maklumat perisikan yang diperolehi oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan menunjukkan kemungkinan wujud kegiatan penyeludupan pasir dari Johor ke Singapura.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan Laksamana Pertama Zulkifli Abu Bakar berkata, walaupun maklumat perisikan menunjukkan kemungkinan kegiatan itu berlaku tetapi pihaknya berhadapan dengan kesukaran untuk membuktikannya secara sahih.

"Kami masih lagi dalam siasatan untuk mengesahkan apa yang dilaporkan, tetapi daripada siasatan awal, ia menjurus kemungkinan (kegiatan penyeludupan pasir) itu berlaku," katanya kepada Bernama di pejabatnya baru-baru ini.

Katanya, anggota APMM yang melakukan pemeriksaan di perairan Johor mendapati kapal dan bot-bot membawa pasir terbabit memiliki segala dokumen dan permit yang lengkap untuk menjalankan aktiviti membawa pasir.

Bagaimanapun, usaha pemantauan APMM di perairan Johor itu berakhir apabila kapal dan bot membawa pasir itu memasuki perairan Singapura, dalam perjalanan mereka menuju ke destinasi terakhir mereka.

Bot-bot dan kapal membawa pasir di Johor terutamanya di Sungai Johor diberikan permit untuk mengangkut bahan itu bagi projek-projek pembangunan di Danga Bay, Tanjung Bin dan Permas Jaya.

Bagaimanapun, sebagai contoh, menurut Zulkifli, untuk sampai ke Danga Bay, bot dan kapal mengangkut pasir daripada Sungai Johor itu terpaksa menggunakan perairan Singapura untuk sampai ke destinasi mereka.

Ini disebabkan perairan di Selat Tebrau itu terlalu cetek atau terhalang oleh Tambak Johor, katanya.

"Ketika bot-bot dan kapal membawa pasir ini berada di dalam perairan Singapura, kita tidak boleh berbuat apa-apa (dari segi pemantauan dan penguatkuasaan). Kita tidak tahu sama ada mereka melencong atau memunggah muatan pasir itu ke tempat lain," katanya.

Menurutnya, maklumat perisikan APMM turut menunjukkan bahawa bot dan kapal-kapal yang membawa pasir daripada Johor itu kerap "singgah" di dua kawasan di Singapura, iaitu Punggol dan Tuas.

Punggol, menurut sumber, merupakan sebuah kawasan penyimpanan pasir di republik itu manakala Tuas pula merupakan kawasan di mana aktiviti tebus-guna tanah sedang berjalan rancak.

"Walaupun kita ada maklumat bahawa kapal dan bot itu pergi ke Punggol dan Tuas, tetapi kita tidak mempunyai bukti yang menunjukkan mereka memunggah muatan pasir di kedua-dua tempat itu," kata Zulkifli.

Bot dan kapal terbabit juga, katanya, juga boleh memberi alasan mereka mengisi minyak atau membaiki kerosakan.

Beliau memberi contoh satu kes di mana anggotanya bertindak mengekori sebuah bot membawa pasir memasuki perairan Singapura dan menahannya apabila ia keluar dari republik itu.

Bagaimanapun, bot itu gagal didakwa dan dilepaskan kerana APMM tidak dapat membuktikan aktiviti pemunggahan pasir daripada bot itu berlaku ketika ia berada di perairan republik berkenaan.

Katanya tempoh permit yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Daerah untuk mengangkut pasir yang kadangkala menjangkau sehingga satu minggu, turut diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk melakukan aktiviti penyeludupan.

"Ada permit yang memperuntukkan sehingga tujuh hari kepada pengusaha untuk mengangkut pasir daripada Sungai Johor ke Danga Bay, walhal ia hanya mengambil masa 12 jam bagi bot atau kapal itu untuk sampai ke destinasinya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain