suria

Hanya Dua Projek Terbengkalai Di Bawah KKLW Sejak Lima Tahun Lepas:Joseph Entulu

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara pada Khamis diberitahu hanya dua projek di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) terbengkalai dalam tempoh lima tahun lepas.

Timbalan Menterinya Datuk Joseph Entulu Belaun berkata projek itu ialah pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar, Perak dan MRSM Sungai Besar, Selangor melibatkan kos RM137.9 juta yang sepatutnya siap pada September 2008.

Katanya selepas tender semula, kos projek terbabit akan dikurangkan kepada RM106.48 juta dan dijangka siap masing-masing pada Oktober dan November tahun depan.

"Tindakan pemulihan sedang dibuat oleh KKLW, yang mana proses untuk menender semula sedang dilaksanakan dan pembinaan kedua-dua MRSM tersebut dijangka dimulakan dalam masa terdekat," katanya menjawab soalan Senator Dayang Madinah Tun Abang Haji Openg.

Entulu berkata bagi meminimumkan kes projek terbengkalai, kementerian itu mengambil beberapa langkah termasuk melakukan pemantauan lebih menyeluruh dan lebih rapi terhadap projek yang dijangka mengalami masalah.

Selain itu, kementerian turut mengarahkan pasukan 'flying squad' untuk membuat pemantauan segera jika ada projek tidak mengikut jadual atau "sakit", selain memilih kontraktor yang lebih berwibawa, berpengalaman dan berprestasi cemerlang.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain