suria

Najib Lawat Pengiringnya Yang Koma Di HKL

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad meluangkan masa melawat pengiring bermotosikal beliau, Sarjan Mejar Yazid Mohamed yang kini masih koma akibat kemalangan Jumaat lalu.

Najib, yang tiba pukul 7.15 malam di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dari Pekan, Pahang setelah merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pekan, turut diiringi Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Kejadian berlaku pada pukul 9.30 pagi Jumaat lepas apabila motosikal yang ditunggang oleh Yazid, 45, terbabas selepas melalui tol Jalan Duta ketika dalam perjalanan balik ke Bukit Aman setelah mengiringi Najib berlepas ke Kelantan dari Lapangan Terbang TUDM, Subang.

Yazid yang telah berkhidmat dalam Unit Tindakan Khas (UTK) selama 16 tahun mengalami cedera parah di kepala, rahang dan dada, bagaimanapun, rakan sekerja yang membonceng motosikal beliau, Konstabel Danial Johanis tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, isteri Yazid, Rosmawati Husin, 35, terharu apabila Najib sudi meluangkan masa kira-kira 10 minit melawat suaminya dan bertanyakan khabar beliau dan keluarga.

"Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sanggup datang melawat suami saya. Kerja suami saya memang berkait rapat dengan Perdana Menteri," katanya yang juga seorang guru kepada pemberita di sini.

Ibu kepada tiga orang anak itu berkata Najib memberikan kata-kata semangat kepada beliau dalam menghadapi situasi ini dan berharap agar Yazid sedar kembali dan cepat sembuh.

"Saya berharap agar sesuatu berlaku, buat masa ini masih belum ada sebarang respon yang ditunjukkan oleh suami saya, doktor memberitahu bahawa keadaannya stabil," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain