suria

Pangkalan Data Bagi Pemandu Kenderaan Pengangkutan Awam - SPAD

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan membentuk sebuah pangkalan data bagi pemandu kenderaan komersial dan pengangkutan awam dalam usaha memperkenalkan standard dalam industri pengangkutan darat.

Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata pangkalan data itu akan membantu SPAD mengawal selia industri dengan lebih berkesan.

Dalam kenyataan pada Selasa, katanya pangkalan data itu akan mengandungi semua maklumat mengenai pemandu termasuk rekod kesalahan.

Katanya semua pengusaha pengangkutan awam diwajibkan mengemaskini data rekod pemandu masing-masing.

Syed Hamid berkata buat permulaan pangkalan data itu akan mengandungi maklumat yang dikumpul semasa proses mendaftarkan semula lesen yang sedang berjalan sekarang.

Katanya semua pemegang lesen kenderaan komersial perlu mendaftarkan semula lesen masing-masing dengan SPAD mulai 1 April hingga 30 September ini.

Menurut dalam proses pendaftaran semula itu, pemegang lesen perlu mengemukakan maklumat semua pemandu termasuk nombor MyKad dan nombor lesen kenderaan awam.

Syed Hamid berkata SPAD kemudian akan mendapatkan maklumat relevan yang lain daripada polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau memberi jaminan bahawa semua maklumat yang diberikan itu adalah rahsia dan pemandu dan pengusaha tidak perlu bimbang kerana ia bertujuan memperbaiki mutu perkhidmatan pengangkutan awam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain