suria

Dewan Rakyat Tolak Usul Ancaman Penggodam Laman Web

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Selasa menolak usul bagi membincangkan perkara berkaitan ancaman kumpulan penggodam yang menyerang 198 laman web tempatan termasuk portal rasmi kerajaan sejak dikesan 13 Jun lalu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, walaupun ada perkara tertentu yang berhubung dengan kepentingan awam di dalam usul itu, dewan berpendapat ia bukan sesuatu yang perlu disegerakan. "Saya telah meneliti perkara ini dan dari segi syarat didapati ia ada perkara tertentu, ada kepentingan dengan orang ramai namun perkara ini juga tidak berkehendakkan kepada disegerakan.

"Oleh yang demikian, saya menolak usul ini di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1)," katanya ketika mengambil ketetapan untuk menolak usul yang dibawa Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) pada sidang Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Pandikar Amin berkata bagi membolehkan perkara itu ditimbang oleh majlis mesyuarat, beliau sebagai Yang diPertua perlu berpuas hati bahawa usul itu memenuhi tiga syarat di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) iaitu, sesuatu yang baru, ada keperluan dan melibatkan kepentingan orang ramai. Terdahulu, Salahuddin yang mengemukakan usul itu sebaik sesi soal jawab selesai meminta ketetapan supaya dewan ditangguhkan bagi membolehkan perkara itu dibincangkan kerana berpendapat serangan itu adalah serius yang boleh menggugat keselamatan negara.

Beliau berkata, walau apa sekalipun hasrat pihak tersebut, kerisauan mengenainya kian memuncak sekiranya tujuan mereka tidak mampu diatasi kerajaan terutamanya berkaitan aspek keselamatan negara.

"Oleh yang demikian, saya meminta sidang Dewan Rakyat dapat ditangguhkan untuk melihat isu ini demi soal keselamatan negara," katanya.

Sebelum ini, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dilaporkan berkata, kerajaan tidak gentar dengan ancaman kumpulan yang bergelar 'Anonymous' itu dan memberi jaminan identiti mereka akan diketahui dalam masa terdekat selepas pihak yang berkaitan mengenal pasti mereka yang terbabit dalam kejadian itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Pandikar Amin turut menasihatkan Anggota Parlimen agar memahami serta faham tiga syarat utama dalam mengemukakan usul berdasarkan Peraturan Mesyuarat 18 (1) supaya tidak berterusan memberi tekanan kepada dewan sekiranya ia ditolak.

Beliau berkata Anggota Parlimen juga perlu faham bahawa Aturan Urusan Mesyuarat yang dibekalkan setiap hari merupakan agenda utama sidang pada hari tersebut dan sekiranya ingin membuat usul ia perlu berupa sesuatu yang lebih penting daripada agenda harian Parlimen hari itu. "Sebab itu apabila saya baca rujukan-rujukan dari luar rupanya juga menjadi tanggungjawab setiap Ahli Yang Berhormat sebelum mengemukakan usul perlu fikir baik-baik sama ada usul itu akan ditolak atau diterima kerana tiga syarat tadi perlu dipenuhi dengan yang paling mustahak ialah sama ada usul itu perlu disegerakan ataupun tidak," katanya.

Menjadikan sidang parlimen di United Kingdom yang tidak menerima sebarang usul penangguhan untuk tempoh sembilan tahun bermula 1993 sehingga 2002 di bawah peraturan 24, bersamaan dengan Peraturan Mesyuarat 18 (1) Parlimen Malaysia, Pandikar Amin berkata keadaan itu adalah jauh berbeza kerana untuk sesi yang bermula 13 Jun lalu sehingga kini sahaja beliau telah menerima 10 usul penangguhan sidang yang dihantar ke pejabatnya.

Katanya Anggota Parlimen di sana juga tidak akan membantah sekiranya usul mereka ditolak tanpa perlu Speaker memberi alasan tetapi di sini suasananya berbeza di mana ahli yang berhormat akan "bertegang leher" dengan Yang diPertua dan timbalan-timbalannya untuk menjustifikasikan permohonan masing-masing.

Pandikar Amin berkata di sebalik tindakannya menolak beberapa permohonan usul sebelum ini, rekodnya sebagai Yang diPertua tidaklah seburuk yang disangka kerana sejak memasuki dewan lebih tiga tahun lalu, beliau telah menerima lima usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) yang berhubung isu mogok nelayan, harga beras, kesihatan, tanah runtuh, dan kemalangan jalan raya yang ada kaitan dengan bas persiaran.

Sehubungan itu, beliau meminta Anggota Parlimen tidak membuat tekanan kepada beliau dan timbalan-timbalannya dengan membuat kenyataan di luar persidangan berhubung usul masing-masing kerana laporan yang dikeluarkan akan memberi implikasi dan persepsi buruk masyarakat bahawa Yang diPertua Dewan Rakyat sewenang-wenangnya menolak usul yang dikemukakan.

"Saya tahu bahawa wakil-wakil daripada media massa mendengar ucapan saya di luar sana, jadi tolonglah beri liputan kepada perkara yang disebutkan ini supaya janganlah masyarakat di luar sana membuat persepsi bahawa saya membuat tindakan yang sewenang-wenangnya tanpa mengikut peraturan mesyuarat," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain