suria

JPJ Tidak Akan Ambil Tindakan Terhadap Pesalah Trafik PBT Tanpa Bukti Lengkap

BERA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan mengambil tindakan sewenang-wenangnya tanpa bukti yang lengkap terhadap pesalah trafik di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan berkata PBT perlu mengemukakan butir-butir kesalahan secara tepat dan terperinci termasuk nama, alamat, jenis dan waktu kesalahan bagi membolehkan JPJ menjalankan penelitian. "Selagi tidak mempunyai bukti lengkap, JPJ tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya termasuk menyenarai hitam kenderaan atau pemandu terbabit," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Satu Komuniti Satu JPJ di Sekolah Menengah Purun, di sini, Sabtu.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi mengelak pemandu teraniaya.

Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2010) membolehkan PBT mengemukakan permohonan kepada JPJ bagi menyenaraihitamkan pesalah trafik PBT atau kenderaan yang melakukan kesalahan trafik PBT.

Solah berkata ketika ini pihak JPJ masih dalam proses perbincangan dengan PBT di seluruh negara bagi memperkemas penguatkuasaan dan undang-undang trafik sebelum tindakan menyenarai hitam kenderaan boleh dilaksanakan.

Beliau berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan 74 daripada 154 PBT di seluruh negara dan akan melakukan perbincangan dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Perbadanan Putrajaya pada Isnin ini berhubung perkara itu.

Sementara itu, Solah berkata JPJ kini di peringkat akhir perbincangan dengan Kementerian Pelajaran bagi pengeluaran lesen memandu motor berkelompok kepada pelajar sekolah menengah berumur 17 tahun ke atas.

Katanya langkah itu bagi membolehkan pelajar memiliki lesen memandu yang sah dan mengetahui mengenai peraturan jalan raya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain