suria

22 Pendatang Tanpa Izin Myanmar Ditahan Di Bukit Tangga

BUKIT KAYU HITAM: Seramai 22 pendatang asing tanpa izin warga Myanmar ditahan oleh anggota Batalion Kelima Rejimen Sempadan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam dua kejadian berasingan di Felda Bukit Tangga, di sini, tengah malam Khamis.

Penolong Pegawai Pemerintah pasukan itu, Mejar Zainuddin Hussin berkata semua warga Myanmar tersebut termasuk seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditangkap pada pukul 11.50 malam tadi dan 12.40 pagi ini.

Dalam tangkapan pertama, seramai 14 orang termasuk tiga wanita ditahan diikuti lapan lagi hampir sejam kemudian di kawasan yang sama.

"Bagaimanapun dua tekong darat berjaya melarikan diri dengan kereta," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Menurutnya anggota pasukan itu yang meronda di kawasan hutan Bukit Tangga terlihat dua kereta jenis Proton Saga dan Perodua Kancil yang mencurigakan kira-kira satu kilometer dari sempadan.

Katanya kesemua pendatang itu akan diserahkan ke Jabatan Imigresen setelah didapati memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah.

Zainuddin berkata mereka dipercayai akan dibawa oleh tekong darat kepada agen untuk dihantar bekerja sebagai buruh ladang dan kilang di negeri itu dan Pulau Pinang.

Katanya pasukan tentera mengawal ketat kawasan sempadan terutama Ladang Rakyat Laka Temin yang menjadi laluan tikus untuk memasuki negara ini oleh pendatang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain