suria

PAS Mahu Hassan Kekal Sebagai Exco Selangor

PETALING JAYA: PAS mahu Datuk Dr Hassan Mohamad Ali kekal sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor bagi mengukuhkan parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, selain itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu berkenaan digugurkan sebagai Pesuruhjaya negeri bagi membolehkan beliau memberi tumpuan kepada tugasnya sebagai Exco.

Abdul Hadi berkata demikian semasa mesyuarat pertama Ahli Jawatankuasa PAS Pusat selepas pemilihan parti pada Muktamar Tahunan awal bulan ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad dalam entri terbaru blognya bertajuk Yang Tercantas dan Yang Dicantas di sini, Rabu.

Khalid berkata, pertukaran Pesuruhjaya PAS Selangor kepada yang baru iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Dr Abdul Rani Osman juga dicadangkan oleh pucuk pimpinan sebelum dipersetujui secara konsensus.

"Saya menerima penjelasan itu dengan baik kerana sememangnya persoalan PRU merupakan isu yang amat penting.

"Prestasi Exco juga akan menyumbang ke arah memenangkan calon-calon PAS yang lain dan oleh itu perlu diberikan tumpuan untuk penambahbaikan

"Saya ingin menyatakan di sini, bahawa jawatan Exco tersebut amat perlu dikekalkan, sepertimana kehendak Datuk Seri Presiden," tegasnya.

Beliau menjelaskan, agak berat sekiranya Exco ditugaskan sebagai pesuruhjaya kerana pengukuhan parti juga perlu diberikan tumpuan supaya lebih banyak kerusi-kerusi yang ditandingi PAS akan dapat dimenangi.

"Untuk perkara tersebut dicapai, tumpuan perlu diberikan di kawasan yang ditandingi oleh PAS tetapi tewas. Mungkin agak berat untuk dilakukan sekiranya tanggung-jawab sebagai Exco Kerajaan Negeri turut disandang pada masa yang sama," jelasnya lagi.

Khalid menjelaskan, situasi di Selangor berbeza dengan Kedah dan Kelantan kerana di negeri ini PAS bertanding 20 kerusi dan hanya menang lapan darinya.

Tambahnya, di Selangor PAS tetap lemah dari banyak sudut, jumlah ahli, jumlah cawangan, kewangan, aset dan lain-lain.

"Oleh itu Selangor tidak boleh disamakan dengan Kedah dan Kelantan," ujarnya.

Mengulas mengenai kenyataan Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohd. Satim Diman bahawa kemungkinan Hassan akan turut digugurkan sebagai Pengerusi jawankuasa Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Khalid menegaskan:

"Tiada usaha untuk mencantas, meminggir atau menjatuhkan mana-mana pihak. Yang dilakukan bukan atas sebab pertimbangan-pertimbangan seperti itu, tetapi sebaliknya atas pertimbangan kepentingan perjuangan dan parti."

Artikel Lain