suria

Kemalangan Boleh Dielak Jika Ada Zon Menunggang Kuda di Pantai

GEORGE TOWN: Kejadian seorang kanak-kanak dirempuh kuda di Pantai Batu Feringghi pada Selasa lepas dikatakan dapat dielak jika kerajaan negeri menyediakan zon tertentu untuk menunggang kuda berhampiran pantai.

Seorang pengusaha kuda di kawasan berkenaan, Mohd Salim Ismong, 46, berkata beliau kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang tidak mengendahkan permohonannya supaya diadakan zon untuk menjalankan aktiviti menunggang kuda di pantai Batu Feringghi.

"Sudah beberapa kali saya berjumpa wakil kerajaan negeri termasuk menghantar kertas kerja meminta mereka benarkan aktiviti berkuda dengan mengadakan zon tertentu untuk menjalankan aktiviti berkenaan, namun permohonan kami tidak diendahkan," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau yang mewakili pengusaha-pengusaha kuda kawasan berkenaan berkata aktiviti menunggang kuda di tepi pantai digemari pelancong domestik dan luar negara.

"Kami cuma nak minta kerajaan negeri adakan tiga zon untuk aktiviti ini. Bagi kami masa empat jam sehari pun dah cukup untuk jalankan perniagaan dan mencari rezeki," katanya.

Isteri Mohd Salim, Noraini Hamad, 39, berkata lapan pengusaha kuda dengan 30 pekerja hilang mata pencarian selepas kerajaan negeri mengharamkan aktiviti berkuda di kawasan pantai itu sejak Januari lepas.

"Saya telah menjalankan perniagaan ini sejak 20 tahun lepas, ini adalah sumber pendapatan keluarga saya," katanya sambil menjelaskan terdapat antara 20 hingga 40 pelancong yang menunggang tiga ekor kuda miliknya setiap hari.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan negeri menimbang permohonannya untuk menjalankan perniagaan secara sah dan mengadakan zon tertentu untuk aktiviti berkuda bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, Arina Kirana Azrin, 5, patah bahu kiri dan cedera di paha kanan akibat dirempuh ketika dia sedang bermain dengan kakaknya yang berusia 12 tahun di belakang sebuah hotel.

Kakaknya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain