suria

Remaja Lemas Ketika Mandi Sungai Di Tanjung Chali

ALOR SETAR: Mayat seorang pelajar tingkatan tiga yang lemas ketika mandi bersama empat rakannya di Tanjung Chali, di sini petang semalam, ditemui Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata mayat Mohd Ikhram Hashim, 15, ditemui pukul 10.47 pagi tadi oleh unit pasukan selam Jabatan Bomba dan Penyelamat di dasar sungai berkenaan.

"Mohd Ikhram dilapor lemas pada pukul 7 petang semalam, dan sejurus menerima laporan kita terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

"Bagaimanapun operasi dihentikan kira-kira pukul 8 malam tadi sebelum disambung semula pukul 7 pagi ini," katanya ketika ditemui pemberita, di tempat kejadian di sini Rabu.

Sementara itu, rakan mangsa Mohamad Nur Arif Azizan, 18, berkata mereka mandi di sungai itu kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

"Kira-kira pukul 7 malam, kami semua sudah naik ke tebing tetapi Ikhram terus mandi. Dia pura-pura lemas dan bersembunyi di bawah tebing.

"Kami tidak menghiraukannya kerana dia selalu berpura-pura lemas dan kami menyuruhnya naik ke tebing kerana hari semakin gelap, selepas lima minit kami dah tidak dengar suaranya," katanya kepada pemberita.

Katanya panggilan mereka juga tidak bersahut menyebabkan beliau dan yang lain ke balai polis untuk membuat laporan.

Jenazah Mohd Ikhram dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Melintang, Tajar di sini selepas solat Asar hari ini.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain