Abdul Hadi Berhasrat Menjadi PM - Nazri - Semasa | mStar

Abdul Hadi Berhasrat Menjadi PM - Nazri

KUALA LUMPUR: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata beliau percaya presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bercita-cita menjadi ketua pembangkang dan perdana menteri.

Katanya memandangkan kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah semakin kehilangan pengaruh akibat berdepan dengan tuduhan meliwat, Abdul Hadi merasakan beliau berpeluang mengambil alih jawatan ketua pembangkang itu.

"Hadi sedar kini beliau ada peluang untuk menjadi ketua Pakatan kerana Anwar menghadapi masalah. Beliau berpendapat, sekiranya dia dapat menawan Putrajaya, maka dia boleh menjadi perdana menteri.

"Sebab itulah beliau memaksa parti itu menukar imejnya sekarang," kata Nazri kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai biasiswa di sini Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pemilihan PAS baru-baru ini, yang antara lain menyaksikan parti itu mengubah arah tujunya daripada memperjuangkan penubuhan negara Islam kepada negara kebajikan serta kemenangan calon berpendirian sederhana terhadap calon berpendirian konservatif.

Nazri, yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, berkata jumlah calon yang begitu ramai bertanding bagi jawatan tertinggi menunjukkan bahawa wujud sikap tamakkan kuasa dalam PAS.

Mengenai pemilihan Mohamad Sabu sebagai timbalan presiden, Nazri berkata pemimpin PAS itu hanya merupakan seorang pemimpin minoriti kerana beliau terlibat dengan perlawanan tiga penjuru menentang dua calon berpendirian konservatif iaitu Nasharuddin Mat Isa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Ia tidak menunjukkan dengan ketara bahawa kini mereka bersikap sederhana kerana undi bagi puak konservatif telah berpecah. Kalau dicampur undi yang diterima oleh dua calon itu, jumlahnya lebih besar daripada yang diterima oleh Mat Sabu," katanya.

Beliau berkata imej baru yang cuba ditonjolkan oleh PAS bukan sesuatu yang baru kerana negara kebajikan telah lama menjadi amalan Umno dan Barisan Nasional.

"Akhirnya mereka mengaku bahawa apa yang diamalkan oleh Umno selama ini adalah betul. Mereka ingin menjadi parti alternatif kepada Umno, tapi ini bukan sesuatu yang baru. Umno menyedari perkara itu sejak 60 tahun lepas, tapi PAS memerlukan 57 perhimpunan agungnya untuk menyedari perkara itu," kata beliau.

Nazri berkata beliau percaya walaupun PAS cuba membuat penjenamaan semula sebagai parti yang lebih liberal, tetapi Umno tetap mempunyai kelebihan pada pilihan raya umum akan datang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

Artikel Lain