suria

Dua Broker Bebas Tuduhan Tipu Peguam RM150,000

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, melepas dan membebaskan dua broker kewangan daripada pertuduhan menipu seorang peguam membabitkan wang berjumlah RM150,000, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Jagjit Singh membuat keputusan tersebut selepas berpuas hati bahawa pembelaan yang dikemukakan oleh M. Subhasathamoorthy, 43, dan S. Ramanaya, 46, berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan.

Pada penghakimannya, Jagjit berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan wujudnya elemen ketidakjujuran dalam urusan tersebut.

Sebaliknya, beliau berpendapat segala urusan itu dibuat berdasarkan kontrak dan menerusi prosedur yang ditetapkan.

Seramai enam saksi pendakwaan dan enam saksi pembelaan dipanggil memberikan keterangan sepanjang perbicaraan berjalan.

Sebelum ini, Subhasathamoorthy dan Ramanaya didakwa bersama-sama telah menipu Fadzila Said, 40, untuk mempercayai bahawa mereka mengendalikan kemudahan kewangan daripada sebuah bank iaitu Wachovia Bank.

Perbuatan mereka didakwa telah mendorong Fadzila untuk menyerahkan wang tersebut yang tidak akan dilakukannya sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada 11 Jun 2008, di firma guaman milik Fadzila yang terletak di nombor 802, Jalan 1/76, Desa Pandan, Cheras, di sini.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan denda jika disabitkan kesalahan.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Shashitah Mohd Hanifa manakala pembelaan dibarisi peguam-peguam R. Thrichelvan dan N. Kalyana Sundaram.

Artikel Lain