suria

Budak Dua Tahun Lemas Dalam Besen Di Pusat Jagaan

GEORGE TOWN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemui mati dipercayai lemas di dalam besen berisi air di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Paya Terubong, dekat sini, petang Isnin.

Stella Chew Xing Rou ditemui seorang penjaganya dalam keadaan tidak bergerak di dalam besen di dalam tandas rumah teres dua tingkat yang menempatkan pusat jagaan itu pada kira-kira 1 petang.

Penjaga pusat berkenaan kemudiannya menghantar mangsa ke sebuah klinik swasta yang berhampiran sebelum mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira 1.30 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supritendan Abdul Halim Bulat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata semasa kejadian, kesemua kanak-kanak di pusat berkenaan sedang berkumpul untuk menonton televisyen selepas makan tengah hari.

"Setelah semua budak-budak berkumpul di hadapan televisyen, penjaga tersebut baru sedar bahawa mangsa tidak berada dalam kumpulan tersebut dan mula mencari mangsa," katanya di sini Isnin.

Difahamkan ibu mangsa Heng Bee Thin bersama ahli keluarga mangsa telah membuat laporan polis terhadap pusat jagaan berkenaan pada kira-kira 3 petang.

Katanya mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat pada Selasa dan polis masih menunggu laporan bedah siasat.

"Polis masih belum mengklasifikasi kejadian itu sementara menunggu laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian," katanya.

Sementara itu, salah seorang penduduk di situ yang enggan dikenali berkata pusat berkenaan telah beroperasi sejak 10 tahun yang lalu. - BERNAMA

Artikel Lain