suria

TUDM Ingin Beli Pesawat Kawalan Canggih Tapi K'jaan Tiada Peruntukan

KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berminat untuk memiliki Pesawat Kawalan dan Amaran Awal (AE&C) tetapi tidak mendapat peruntukan kerajaan, kata Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Rodzali Daud.

Katanya, hasrat TUDM untuk memperoleh pesawat AEW&C bernilai bilion ringgit itu telah dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7) namun tidak diluluskan oleh kerajaan.

Menurut beliau, TUDM masih memerlukan pesawat AEW&C untuk memenuhi jurang keupayaan walaupun pesawat TUDM sekarang telah dilengkapi dengan ciri-ciri persenjataan, sensor serta sistem kawal dan perintah.

"Hasrat TUDM ini tidak ada kena mengena dengan negara lain...apa yang penting ialah untuk negara kita dilengkapi dengan aset pertahanan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Amal Shoppe BAKAT (Badan Amal, Kebajikan Angkatan Tentera Udara) di Kem TUDM Sungai Besi, di sini, Jumaat.

Beliau mengulas laporan akhabar yang menyebut TUDM akan memperolehi pesawat AEW&C setelah menunggu selama 15 tahun bagi melengkapkan keupayaan pesawat superioriti iaitu Sukhoi SU-30MKM serta pesawat pejuang MiG-29N dan F/A 18D Hornet.

Negara jiran seperti Indonesia dan Singapura dilaporkan mempunyai beberapa buah pesawat AEW&C.

Pesawat AEW&C yang terbang pada ketinggian tertentu itu direka untuk mengesan pesawat lain menggunakan sistem radarnya sehingga pada jarak sejauh kira-kira 600 kilometer atau lebih.

Ia digunakan dalam operasi pertahanan dan serangan udara selain berupaya membantu pesawat pejuang menangkis serangan musuh.

Mengenai aset terbaru yang akan diperolehi oleh TUDM dalam usaha memperkasa sistem pertahanan ruang udara negara, Rodzali berkata berkata ia hanya melibatkan pesawat Airbus A400M, Eurokopter EC725 dan sistem radar.

Artikel Lain